suria

Kerajaan Akan Pastikan Bernama TV Terus Beroperasi - Irwan Serigar

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan akan menyalurkan peruntukan kepada Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi meneruskan operasi Bernama TV, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

"Kerajaan memandang serius terhadap survival Bernama TV, untuk itu kita akan menyediakan peruntukan tertentu untuk membantu Bernama TV meneruskan perjuangannya menyalurkan berita terkini kepada rakyat," kata beliau kepada Bernama selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV.

Sehubungan itu, beliau menolak dakwaan operasi Bernama TV akan ditamatkan.

"Kerajaan tidak sekali-sekali berfikir untuk menutup Bernama TV. Bernama TV merupakan satu saluran yang bagus dari segi penyaluran berita, jadi saya rasa tidak mungkin kerajaan akan mengambil tindakan terburu-buru untuk menutup operasi Bernama TV," katanya.

"Kerajaan menaruh harapan tinggi kepada Bernama TV kerana ia adalah saluran berita 24 jam yang memberikan liputan berita terkini mencakupi pelbagai aspek kepada rakyat," kata beliau.

Justeru, Irwan Serigar berkata kerajaan akan memastikan Bernama TV membuat pembaharuan dari segi teknologi, kemudahan dan latihan di samping gaji pekerja dibayar selaras dengan pasaran.

Sekiranya masih terdapat masalah operasi Bernama TV yang merupakan usaha sama kerajaan dan swasta, beliau mencadangkan agar stesen televisyen itu diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan dan dikendalikan kementerian yang berkaitan.

Sementara itu, mengulas perkembangan lain, Irwan Serigar berkata beberapa kementerian sudah mula menunjukkan penjimatan perbelanjaan dalam beberapa aspek, seperti pembelian alatan pejabat dan kenderaan baharu.

"Kos perbelanjaan keluar negara juga sudah menunjukkan penurunan di mana beberapa kementerian dilihat sudah mula mengurangkan aktiviti perjalanan ke luar negara dan keluar dalam rombongan yang lebih kecil," katanya.

Mengenai Pemukiman Menteri-menteri Ekonomi Asean (AEM) pula, beliau berharap penganjuran di Kota Baharu bermula Sabtu ini akan dapat membantu meningkatkan ekonomi Kelantan terutamanya dalam kalangan peniaga tempatan. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain