suria

Ugut Bunuh: Khalid Tak Gentar

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar  tidak gentar dengan ugutan bunuh yang diterimanya menerusi klip video kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Kumpulan Anak Malaysia Anti-Demokrasi (Amad).

"Ugutan sedemikian tidak langsung menakutkan saya dalam melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

"Ia adalah lumrah dalam kehidupan seorang pegawai polis yang menjalankan tugasnya," katanya pada Rabu.

Ugutan bunuh terhadap Khalid disampaikan kumpulan tiga lelaki bertopeng itu menerusi klip video yang dimuat naik di YouTube.

Video bertajuk "Peringatan kepada IGP" berdurasi 1.27 minit itu mengugut membunuh Khalid dengan meletupkan keretanya sebagai desakan untuk beliau meletak jawatan.

Ia digambarkan pada akhir video itu dengan seorang lelaki bertopeng membawa kereta mainan di hadapan lelaki dengan muka bertutup dan membakar kereta tersebut menggunakan pemetik api disusuli bunyi letupan.

Khalid yang menganggap perbuatan itu sebagai tidak bertanggungjawab berkata, pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengesan identiti kumpulan terbabit.

Malahan, beliau turut memberi amaran tidak akan teragak-agak  mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang ke atas sesiapa saja yang menganggu-gugat keamanan negara ini.

"Kepada pihak yang mempunyai niat jahat, hentikannya serta merta kerana ia boleh membawa implikasi keselamatan serius dan merosakkan keharmonian masyarakat berbilang bangsa negara ini," katanya.

Tambahnya lagi, tindakan kumpulan itu memberi gambaran buruk terhadap sistem demokrasi yang sudah lama diamalkan di negara ini.

Khalid turut menyatakan kebimbangannya terhadap tindakan segelintir masyarakat di negara ini yang tidak menggunakan saluran demokrasi yang betul, sebaliknya memilih untuk melakukan perbuatan yang menyalahi undang-undang.




Khalid Abu Bakar, Amad, ugutan bunuh

Artikel Sebelum

OKT Maut Jatuh Bumbung Flat

Artikel Berikut

Artikel Lain