IPOH: Seorang orang kena tuduh (OKT) ditemui mati selepas terjatuh dari bumbung sebuah flat empat tingkat di Ipoh Timur pagi, Rabu. Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Supritendan Ahmad Termizi Abd Haq berkata, mayat Hew Ken Keong, 36, atau dikenali sebagai Ah Keong ditemui dengan kesan kecederaan pada seluruh badan kira-kira pukul 10.30 pagi. Beliau berkata, lelaki itu sepatutnya hadir ke mahkamah pagi tadi bagi satu pertuduhan berkaitan samun berkumpulan menggunakan parang. "Mangsa dipercayai naik ke bumbung flat sebelum bertindak terjun ke bawah dan polis tidak menemui sebarang unsur jenayah dalam kejadian tersebut," katanya. Mayat dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk dibedah siasat. Dalam kes lain, seorang wanita warga China maut dipercayai akibat disamun dan dibunuh di sebuah rumah kedai di Lorong Bercham 4 di sini Ahad lepas. Ahmad Termizi berkata, mangsa yang beumur 66 tahun merupakan pemilik kedai kopi ditemui dengan kesan kecederaan di kepala dan muka di atas lantai rumah kedai tersebut.