suria

Selesai Kemelut MIC Segera Untuk Kepentingan Rakyat - Subra

Dr S. Subramaniam.
MELAKA: MIC perlu menyelesaikan kemelut dalamannya dengan segera supaya parti itu boleh terus berkhidmat kepada rakyat terutamanya masyarakat India dengan lebih baik lagi, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr S. Subramaniam. 

Menteri Kesihatan itu berkata kini MIC menghadapi banyak cabaran terutamanya melibatkan pelbagai isu masyarakat India yang perlu diselesaikan, justeru MIC tidak boleh berterusan membuang masa terjebak dalam kemelut tersebut. 

"Saya berpendapat penyelesaian terbaik dan paling cepat (untuk menyelesaikan kemelut MIC) ialah dengan mematuhi arahan ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), kita mesti bergerak ke arah penyelesaian melalui pemilihan (parti) seperti diarah ROS.

"Bila patuhi arahan (ROS) dua atau tiga bulan sudah selesai jika terus begini (terjebak dengan kemelut) bertahun tidak dapat membantu (rakyat).

"Apabila sudah selesai kita akan ada presiden, timbalan dan jawatankuasa rasmi yang boleh bantu rakyat terutama masyarakat India," katanya pada sidang akhbar di sini Selasa.

Sebelum itu, beliau merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Jalan Kubu bernilai RM1.2 juta. 

Kemelut MIC itu timbul setelah ROS membatalkan pemilihan tiga jawatan naib presiden dan 23 jawatan CWC, pada November 2013, susulan aduan berlaku penyelewengan. 

Dalam surat bertarikh 5 Disember 2014, ROS mengarahkan MIC supaya mengadakan pemilihan semula bagi jawatan berkenaan dalam tempoh 90 hari.

Pada 18 Februari, mesyuarat peringkat tinggi BN mencapai keputusan supaya pemilihan semula MIC diadakan serta meminta Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel memanggil segera mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat 2009 untuk penubuhan sebuah Jawatankuasa Pemilihan Bebas di kalangan parti itu. 

Pada Isnin lalu, anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC K. Ramalingam mengemukakan permohonan semakan kehakiman terhadap tindakan dan kenyataan yang dibuat oleh ROS serta Ketua Pengarah ROS Mohammad Razin Abdullah.

Dr Subramaniam berkata tindakan mengheret ROS ke mahkamah akan menjadikan kemelut MIC itu bertambah rumit dan semakin sukar untuk diselesaikan.

MIC, Dr Subramaniam

Artikel Sebelum

Artikel Lain