suria

Purata Pendapatan OKU Jual Tisu Hanya RM40 Sehari - PKB

PETALING JAYA: Realiti kehidupan Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan bukan senang dan mewah seperti yang disangkakan kerana mereka hanya memperoleh pendapatan secara purata RM40 sehari dengan menjual tisu.

Pengerusi Persatuan Kebajikan OKU Penglihatan Bekerja Sendiri (PKB), Raja Zainuddin Raja Ghazali berkata, secara purata OKU penglihatan hanya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan.

"Katakanlah mereka dapat RM40 sehari, dan mereka bukannya keluar setiap hari. Mungkin enam hari seminggu.

"Pendapatan itu perlu digunakan untuk membayar ‘upah’ kepada pengiring, modal tisu yang hendak dijual dan kos tambang untuk bergerak ke sana sini. Itu belum lagi keperluan lain," katanya ketika ditemui mStar Online.

Portal mStar Online sebelum ini melaporkan bahawa kebanyakan orang buta yang memilih menjalankan aktiviti ini mampu memperoleh pendapatan bersih lebih RM2,500 sebulan berbanding pekerjaan lain yang dilakukan golongan itu.

Raja Zainuddin berpendapat, secara logiknya pendapatan orang buta yang menjual tisu setinggi RM2,500 adalah tidak masuk akal.

"Mereka (orang buta) bukannya keluar setiap hari. Ada masanya hari hujan, ada waktu tiada pengiring yang hendak membantu bawa mereka bekerja.

"Kalau tak ada orang bawa, kalau hari tak hujan pun mereka susah untuk keluar. Malah, kebiasaannya saya dengar kalau orang buta yang menjual tisu setempat dari pukul 10 pagi sehingga 3 petang pun akan dapat hasil RM15," katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui pendapatan orang buta boleh mencecah lebih tinggi daripada itu sekiranya mereka berusaha keras dengan bergerak ke luar dari ibu kota.

Katanya, di Kuala Lumpur sahaja dianggarkan kira-kira 1,000 OKU penglihatan yang tidak berdaftar dengan sebahagian besarnya turut menumpukan aktiviti menjual tisu.

"Oleh kerana terdapat keadaan di mana orang buta ini tiada pilihan, jadi mereka akan bertembung dengan orang buta lain yang menjual tisu," katanya yang merujuk kepada persaingan itu semakin menyukarkan OKU untuk memperoleh pendapatan tinggi.

Malahan katanya, segelintir masyarakat mempunyai persepsi bahawa ‘bantuan’ terhadap OKU adalah bermusim iaitu membantu ketika menjelang hari raya.

Memang boleh mencecah sehingga RM70 sehari pada bulan puasa dan hari raya tetapi itupun bukanlah satu jumlah yang tetap,” katanya.

Menurut Raja Zainuddin, pendapatan orang buta masih tidak mencecah sehingga RM2,500 sebulan walaupun selepas mengambil kira bantuan Skim Bantuan Kewangan OKU bagi kategori Elaun Pekerja Cacat (EPC) secara bulanan dan tetap yang diterima daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu sekitar RM150 hingga RM300.

JKM menggariskan hanya OKU yang memperoleh pendapatan melebihi RM1,200 sebulan layak mendapat bantuan sehingga RM300 sebulan.

Ia merupakan antara syarat kelayakan khusus bagi pemohon EPC kerana penentuan bantuan adalah berdasarkan kepada hasil siasatan dan pertimbangan pihak JKM.

Raja Zainuddin mendakwa terdapat segelintir OKU telah dipotong atau tidak mendapat elaun itu hanya disebabkan pendapatan yang dikatakan tinggi.

Sehubungan itu katanya, pihak JKM perlu sedia maklum dengan perkembangan OKU penglihatan yang mempunyai peluang pekerjaan amat terbatas.

"Hakikatnya, orang buta tiada pilihan untuk membuat kerja-kerja lain dan kekurangan mereka yang tidak dapat melihat membuatkan segala-galanya terbatas.

"Justeru itu, kita minta supaya pihak JKM menetapkan EPC ini sebagai wang insentif yang seharusnya diberikan kepada OKU yang bekerja sendiri di bawah usia persaraan tanpa mengenakan sebarang syarat.

"Mereka perlu mengkaji semula sedalam-dalamnya tentang perkara ini dengan mengambil kira faktor seperti pendapatan OKU yang tidak tinggi. Realitinya kehidupan OKU penglihatan yang bekerja sendiri bukanlah senang atau mewah seperti yang disangkakan," kata Raja Zainuddin.

Artikel Lain