suria

600 Kedai Runcit Ditransformasi Pasarkan Produk Segar - Ismail Sabri

Ismail Sabri (tengah) momotong kek sebagai tanda simbolik Sambutan Ulang Tahun ke-42 LPP. Turut kelihatan Ketua Pengarah LPP Datuk Arpan Shah Satu (kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mohd Arif Ab Rahman (dua kiri), Pengerusi LPP Datuk Zainal Dahalan (dua kanan) dan Pengerusi Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Saipolbahari Shuib pada majlis tersebut

KUALA LUMPUR: Sebanyak 600 kedai runcit seluruh negara akan dinaik taraf untuk memasarkan produk segar perladangan keluaran agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, konsep kedai itu sama seperti Kedai Rakyat 1Malaysia namun ia akan diuruskan sendiri oleh pemiliknya selain penambahan jualan produk segar perladangan.

"Nama kedai tersebut akan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pertengahan bulan hadapan dan projek perintisnya adalah di Pahang," katanya dalam sidang media selepas majlis sambutan ulang tahun ke-42 Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di sini, Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajudin Abdul Rahman, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd Arif Ab.Rahman serta Pengerusi LPP Datuk Zainal Dahalan.

Ismail berkata, buat permulaan, sebanyak 50 kedai di luar bandar dan  pinggir bandar akan ditransformasi untuk tujuan itu pada tahun ini.

Menurut beliau, kementerian akan memperuntukkan dana khusus selain memastikan kedai-kedai tersebut diseragamkan dari segi pengurusan supaya lebih profesional dan teratur.

Ismail berkata, produk segar yang dijual di kedai tersebut juga akan jauh lebih murah antara lima hingga 20 peratus.

Artikel Lain