suria

Penyebar Berita Palsu MH370 Jahil

CYBERJAYA: Penyebar spekulasi liar dan berita palsu berkaitan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac tahun lepas adalah jahil dan kurang pengetahuan, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari.

Selaku Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Komunikasi dan Media Insiden MH370, beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak menyembunyikan mana-mana fakta dalam usaha pencarian pesawat itu.

Berhubung dakwaan kononnya Rusia terlibat dan pesawat itu dibawa ke Antartika, Jailani berkata dakwaan itu dibuat oleh pihak tertentu yang mahu popular dengan berita sensasi.

Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang berterusan membuat spekulasi atau menyebar maklumat salah mengenai insiden berkenaan supaya berhenti berbuat demikian.

"Hentikan spekulasi dan perlu percaya kepada kerajaan yang mempunyai tanggungjawab lagi besar dalam misi pencarian pesawat ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Liga Remaja Kreatif 2015 di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di sini, Jumaat.

Pesawat MH370, yang membawa 239 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac tahun lepas kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing pada 12.41 tengah malam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 Mac tahun lepas mengumumkan bahawa pesawat MH370 berakhir di kawasan terpencil di selatan Lautan Hindi.

Pada 29 Jan tahun ini, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengumumkan bahawa kehilangan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan dan kesemua penumpang dan anak kapal dianggap terkorban.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 24 Feb dilaporkan berkata pencarian akan diteruskan dan data yang dibekalkan oleh Inmarsat dan Pusat Kawalan Trafik Udara menunjukkan bahawa MH370 menuju ke arah selatan Lautan Hindi.

Jailani berkata kemudahan internet yang disediakan harus dimanfaatkan untuk menyebarkan maklumat yang sahih.

"Apabila sesuatu maklumat itu disebarkan, jangan terus percaya. Kita perlu periksa semula sebelum berita berkenaan menjadi viral," katanya.

Dalam pada itu, Jailani berkata SKMM sedang menjalankan kajian komprehensif berhubung beberapa aspek penambahbaikan terhadap pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 terutamanya berhubung kesalahan siber yang sering berlaku ketika ini.

Mengenai Liga Remaja Kreatif 2015 pula, beliau berkata ia merupakan satu pertandingan kandungan terbitan tempatan terbaik dalam dalam bentuk video, aplikasi mudah alih, portal internet atau 'Arduino' dan 'Raspberry Pi'.

"Pertandingan yang terbuka kepada semua pelajar sekolah menengah seluruh negara bertujuan untuk memupuk minat kreativiti dalam pembangunan kandungan, serta mencetus keterujaan dalam kalangan remaja terhadap potensi dan peluang dalam industri kandungan," katanya.

Jailani berkata kategori Arduino dan Raspberry Pi merupakan dua kategori baharu, iaitu peserta dikehendaki menghantar cadangan projek alatan bantuan mengajar dalam bilik darjah.

Tarikh tutup penyertaan bagi pertandingan bertemakan 'Inovasi Jalur Lebar-Gaya Hidup Digital Malaysia' adalah 4 April. 

MH370, Rusia

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain