suria

Ugut Bunuh KPN: Kerajaan Pandang Serius - TPM

PUTRAJAYA: Kerajaan memandang serius tindakan sekumpulan anak muda yang mengugut untuk membunuh Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman sosial kerana ia boleh mencetuskan ancaman lebih besar kepada negara pada masa akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata tiga langkah perlu diambil bagi menangani ancaman ekstremisme sedemikian termasuk melalui pendidikan untuk memberi pemahaman mengenai keselamatan kepada generasi muda.

"Kedua, undang-undang yang sudah diguna pakai selama ini perlu dikuatkuasakan secara berkesan dan ketiga, kerjasama antara orang ramai untuk membantu pihak berkuasa mengambil langkah sewajarnya.

"Kita tidak boleh anggap mainan kerana hari ini isu ekstremisme sudah menjadi isu global ... ada rakyat kita yang terlibat dengan IS (kumpulan militan), bermakna bukti jelas ia sudah berlaku di Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas ugutan sekumpulan anak muda melalui laman sosial selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelan Tindakan Pasca Banjir di Banguanan Perdana Putra, di sini, Jumaat.

Dua hari lepas, satu lagi video provokasi berdurasi 1:27 minit memaparkan tiga lelaki bertopeng yang menggelarkan diri sebagai Anak Muda Anti Demokrasi menjadi viral di media sosial.

Mereka yang sebelum ini merancang untuk meletupkan mercun di semua mahkamah seluruh negara pada 11.30 malam 18 Feb lepas, kali ini mengugut ingin meletupkan kereta dan membunuh Khalid.

Ditanya mengenai cadangan beberapa pihak supaya satu mata pelajaran baharu diwujudkan untuk memberi pemahaman kepada pelajar mengenai isu keselamatan, Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, berkata perkara itu perlu dikaji terlebih dahulu berikutan tempoh waktu persekolahan yang terhad.

"Terdapat tempoh terhad dari segi waktu pembelajaran di sekolah, jadi sebarang cadangan untuk menambah (mata pelajaran) adalah tidak praktikal dan tidak mudah untuk kementerian.

"Tetapi, saya fikir mata pelajaran spesifik yang berkaitan dengan isu keselamatan boleh diperkenalkan dalam ko-kurikulum, untuk pelajar memahami bahaya dan peranan media sosial yang mungkin memberi impak terhadap kehidupan mereka ... kami akan kaji perkara itu," katanya.

KPN, Ugut

Artikel Sebelum

Dua Maut , Dua Parah

Artikel Berikut

Artikel Lain