suria

Aset Tentera Darat Seiring Perkembangan Teknologi Semasa - Panglima

Sebahagian anggota Tentera Darat pada perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Darat ke-82 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, Port Dickson, Ahad.

PORT DICKSON: Pemodenan dan pembangunan aset serta kelengkapan tentera darat dilakukan seiring dengan perkembangan teknologi pertahanan semasa, kata Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau berkata, tentera darat akan terus merancang perolehan aset dan sistem terkini agar kesiagaan yang dihajati dicapai atau dipelihara.

"Ini adalah usaha berterusan yang harus dilakukan mengikut parameter plan strategik 'Army 2 10 plus 10' dalam menggapai program pembangunan strategik 4 dimensi Angkatan Tentera Malaysia (4D MAF). Kita seharusnya bersama-sama menggembleng tenaga untuk meningkatkan iltizam bagi mewujudkan satu angkatan objektif.

"Dalam nada yang sama, dengan sokongan dan kepercayaan oleh kerajaan dan pucuk pimpinan Angkatan Tentera Malaysia kepada tentera darat, matlamat ini akan dicapai dan kita adalah teras utama dalam kerangka pertahanan daratan negara," katanya pada perbarisan sempena Hari Tentera Darat ke-82 di padang kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, Ahad.

Katanya, dalam usaha berterusan menangani ancaman khususnya di timur Sabah, ketumbukan angkatan medan timur akan terus diperkukuhkan.

Raja Mohamed Affandi berkata, usaha-usaha meningkatkan pasukan petugas khas 450 yang sedia ada sebagai sebuah divisyen operasi sedang giat dirancang dan diperlengkap.

Katanya, sebuah batalion infantri mekanis yang dilengkapkan dengan kenderaan perisai 8x8 Gempita juga akan ditempatkan sebagai elemen utama cegah rintang.

Selain itu, katanya, kerjasama dengan agensi-agensi keselamatan lain sentiasa dipertingkatkan bagi memastikan hasrat pertahanan berlapis akan dapat dicapai dan seterusnya sebarang cubaan penyusupan dan pencerobohan dapat dicegah.

Keperluan strategik dan operasi ini akan dikaji keberkesanannya secara berterusan agar apa juga ancaman di daerah berkenaan akan mampu kita tangani, katanya.

Mengenai ancaman pihak yang cenderung kepada gerakan militan Negara Islam (IS) serta anasir negatif yang lain, beliau menyeru semua peringkat  pemerintahan supaya terus komited memberi perhatian kepada isu-isu ini dan mengambil langkah bagi mengelak sebarang penglibatan warga tentera kerana ia boleh memberi kesan kepada keselamatan negara secara umum dan integriti tentera darat khasnya.

Perbarisan kali ini melibatkan 18 detesmen dari semua kor tentera darat termasuk Trup Gerak Khas dan anggota Briged Para yang membabitkan seramai 157 pegawai dan 3,460 anggota lain-lain pangkat, diketuai Panglima 3 Divisyen, Mej Jen Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan.

Sambutan ke-82 ini merupakan tradisi rejimental ketenteraan sejak tertubuhnya tentera darat pada 1 Mac 1933 dengan mengekalkan cogan kata 'Tentera Darat Teguh Siaga, ATM Gah, ATM Perkasa'.

Pada perbarisan ini, Raja Mohamed Affandi telah menganugerahkan kepada Sarjan Iruwan Wadam 'Pisau Panglima Tentera Darat' dan juga sebagai Wira Tentera Darat 2015.

Di samping itu, beliau turut menyampaikan Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) kepada 29 anggota lain-lain pangkat dan dua kakitangan awam sebagai penerima Sijil Ketua Perkhidmatan.


Artikel Lain