suria

Mesej Keutuhan Perpaduan Jelas Pada Perhimpunan Melayu

Najib melaungkan 'Hidup Melayu' di hadapan ribuan hadirin pada Perhimpunan Perpaduan Melayu di Stadium Putra Bukit Jalil di Kuala Lumpur, malam Sabtu. Turut serta Idris Jusoh (kanan) dan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad (dua kiri). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mesej perpaduan yang dilontarkan pada Perhimpunan Perpaduan Melayu di Stadium Putra, Bukit Jalil malam Sabtu perlu terus disuburkan untuk terus memacu kemajuan dan kelangsungan masyarakat Melayu pada masa depan. 

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh tidak menafikan wujud anasir yang cuba memporak-perandakan perpaduan dalam kalangan bangsa Melayu. 

Namun, menurutnya, semua itu bukan menjadi halangan utama bagi masyarakat Melayu untuk melakar lebih banyak kejayaan. 

"Jangan anggap ia sebagai satu halangan. Kita perlu terus berfikiran positif dan pastikan Melayu sentiasa bersatu," katanya di akhir perhimpunan itu yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menekankan perkara sama, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, perpaduan bangsa Melayu amat penting dan generasi muda diharap dapat memperkukuh perpaduan dalam memastikan nikmat keamanan terus terpelihara. 

Sambil menyifatkan perhimpunan itu sebagai acara bersejarah, Abu Zahar berkata: "Saya harap di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib kita dapat membangunkan balik semangat orang Melayu bersatu."  

Pada perhimpunan itu, Najib menggariskan tujuh amanat untuk menjadi rujukan kepada bangsa Melayu bagi menjamin mereka terus maju pada abad ke-21. 

Amanat tersebut termasuk keperluan melatih orang Melayu menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka. 

Perkara lain yang ditekankan Perdana Menteri malam ini menyentuh keperluan memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya; mempertahan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni; dan menjaga institusi keluarga. 

Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata perpaduan merupakan kunci kepada kekuatan yang akan melonjakkan lagi kecemerlangan orang Melayu pada masa hadapan. 

"Tujuh amanat yang diucapkan perdana menteri merupakan sesuatu yang amat baik dan relevan untuk bangsa Melayu capai pada hari ini," katanya. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim pula berkata, amanat yang disampaikan Najib perlu diteliti dari masa ke masa.   

"Ia satu agenda yang amat serius dan perlu diberi perhatian," katanya.

Artikel Lain