PETALING JAYA: Artikel yang dimuatkan menerusi laman web kerajaan negeri Terengganu berhubung pengenalan peraturan baharu untuk melarang pelancong memakai pakaian tidak senonoh sudah dipadamkan. Ia dimuat naik pada malam Ahad di laman web teganukita.com, bagaimanapun pemeriksaan sekitar tengah malam menunjukkan rencana berkaitan garis panduan berpakaian itu telah dialihkan. Menurut portal itu, pekeliling dengan garis panduan pakaian akan dikeluarkan kepada semua ejen pelancongan Malaysia dan ibu pejabat pelancongan Malaysia di negara jiran termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand. Perjumpaan diadakan antara kerajaan negeri dan Majlis Warisan Melayu dan Islamik Terengganu (Maidam) untuk menyediakan garis panduan itu. Maidam dijangka mengadakan sidang media berhubung perkara itu untuk menyampaikan beberapa maklumat dalam masa terdekat. Garis panduan itu dijangka menggariskan maklumat terperinci berhubung perkara itu. Mengikut artikel berkenaan, garis panduan itu menyasarkan pelancong, terutama wanita. Terengganu adalah antara destinasi pelancongan kerana pantainya dan pulau terkenal dunia seperti Pulau Redang dan Pulau Perhentian yang menarik kehadiran ribuan pelancong setiap tahun.