suria

Dua Ahli IS Rakyat Malaysia Terlibat Sembelih Tawanan

KUALA LUMPUR: Dua rakyat Malaysia yang terlibat dengan kegiatan militan IS di Syria dipercayai turut terlibat dengan insiden menyembelih seorang rakyat Syria yang ditawan.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Pengganas, Cawangan Khas Bukit Aman SAC Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata identiti kedua-duanya di dalam video berkenaan telah dikenal pasti.

Ia berikutan satu rakaman video berdurasi 30 saat telah dimuat naik di laman sosial Facebook milik individu yang menggunakan nama Abu Hamzah Al Fateh pada 22 Feb lalu.

Individu yang merekod video berkenaan berumur 20 tahun berasal dari Gurun, Kedah dan telah ke Syria pada 23 Sept lepas manakala individu yang berada di sebelah mayat yang disembelih itu berasal dari Durian Tunggal, Melaka dan telah ke Syria pada 26 Jan lepas dan merupakan pemilik akaun FB Abu Hamzah Al Fateh, katanya kepada pemberita di sini, Rabu.

Rakaman video itu merekodkan seorang lelaki warga Syria disembelih seorang lelaki Arab kerana didakwa menjadi pengintip kerajaan Syria.

"Video ini juga merupakan rakaman video pertama yang kita peroleh dengan menunjukkan kehadiran rakyat Malaysia di lokasi kejadian...Facebook milik individu yang menggunakan nama Abu Hamzah Al Fateh ini, juga dikesan masih aktif," kata Ayub Khan.

IS, Malaysia, Syria

Artikel Lain