GEORGE TOWN: Polis Pulau Pinang dan Kedah bekerjasama untuk menentukan sekiranya terdapat kaitan antara dua kes tembakan yang berlaku di kedua-dua negeri pada hari sama. Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Wira Abdul Rahim Hanafi berkata, dua pembunuhan itu mungkin dirancang oleh individu yang sama. "Kita sekarang sedang melihat kepada suspek utama. Bagi kita masa dua hingga tiga hari untuk menangkap dia," katanya kepada pemberita selepas satu program kesedaran mengenai jenayah di Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Bahang di sini. Pada Isnin lalu, seorang lelaki S. Thanabalan, 34, ditembak sebanyak tujuh kali di dalam keretanya sejurus tiba di kediamannya di Jalan Lecongan Timur di Sungai Petani dalam satu kejadian pada pukul 12.15 pagi. Dia meninggal dunia di tempat kejadian. Sementara itu, seorang pengarah firma keselamatan, E. Selvakumar, 51, mati selepas ditembak sekurang-kurangnya tujuh kali di keretanya dekat persimpangan Jalan Scotland dan Jalan Batu Gantung dalam kejadian pada pukul 9.30 malam.