suria

Pasrah Hadapi Musibah Kecurian

Jemaah lelaki dan wanita sentiasa tertarik dengan pelbagai barangan yang ditawarkan sepanjang perjalanan balik ke hotel sam ada di Makkah atau Madinah.

ASSALAMUALAIKUM. Kadangkala kita terdengar jemaah umrah dan haji mengalami kecurian dan kehilangan wang di Tanah Suci Makkah atau Madinah.

Pelbagai persoalan timbul berhubung perkara ini dan kebimbangan mula bersarang dalam sanubari bakal tetamu Allah SWT yang mahu berangkat mengerjakan ibadat itu untuk pertama kali.

Lazimnya, jika kehilangan selipar, kasut, cermin mata,  buku panduan ibadat dan sejadah, maka jemaah tidak ambil pusing kerana kehilangan ini dikaitkan dengan kecuaian atau kelalaian diri sendiri.

Bagaimanapun, jika ada rezeki, jemaah akan bertemu semula barang yang hilang itu dengan izin Allah SWT.

Namun, jika kehilangan duit atau barangan berharga, jemaah akan kelihatan sugul dan kadangkala sukar menerima permasalahan yang terpaksa dilalui, apatah lagi jika kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci. Adakala mereka sugul untuk berhari-hari dan asyik memikirkan barang atau duit yang hilang sehingga menjejaskan kelancaran ibadat.

Tidak dinafikan, kadangkala kita sentiasa berhati-hati sejurus keluar dari bilik hotel tetapi tanpa disedari, beg yang disangkut di bahu atau di leher sudah ditoreh dalam perjalanan ke masjid. Lebih memeranjatkan jika beg ditoreh di depan Baitullah.

Pernah seorang rakan menghantar mesej kepada saya mengatakan duitnya dicuri di depan tanah perkuburan Baqi’ di Madinah ketika ziarah luar bersama-sama rakan jemaah lain, iaitu pada hari pertama tiba di kota bercahaya itu.

Jemaah perlu sentiasa berhati-hati dan menjaga beg sepanjang masa.

“Kak, dompet saya hilang. Ada kad pengenalan, kad kredit dan wang tunai SR600. Saya tidak sedar masa bila dicuri tapi ketika itu kami sedang ziarah luar."

Balasan ringkas daripada saya pada mesej itu:“Sabar. Insha Allah digantikan dengan lebih baik. Anggap ia ujian."

Sebelum berangkat ke Tanah Suci saya sudah berpesan agar tidak membawa kad pengenalan dan kad kredit tetapi beliau terlupa menyerahkannya kepada ahli keluarga dan waris yang menghantar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Malang tidak berbau. Tiada sesiapa yang dapat menduga musibah yang bakal melanda. Begitu juga dengan diri saya setelah menyempurnakan umrah bersama-sama ibu dan rakan sekerja ketika menunaikan umrah pada 2012.

Dataran Masjid Nabawi yang tersergam indah dan nyaman.

Setelah mengerjakan solat Asar di Masjidil Haram, saya maklumkan kepada ibu dan rakan saya, Jay, agar menunggu saya di ruang lobi Hotel Mira Ajyad kerana saya mahu membeli ‘top up’ di bazar Hotel Safwa Royal Orchid.

Saya berjalan sendirian dari Hotel Safwa hingga ke Mira Ajyad dan bertemu Jay dan ibu saya yang sedia menanti. Saya memang gemar melihat aksesori, terutama cincin. Kadangkala boleh leka dengan keindahan dan reka bentuk cincin pelbagai warna.

Di aras bawah hotel berkenaan, ada beberapa peniaga yang menjual jam, aksesori, pakaian, kopiah, dan pelbagai cenderamata. Saya mula rambang mata melihat satu persatu cincin yang diletakkan di depan saya. Biru, hijau, merah, ungu dan kuning. Semua cantik di mata saya. Sukar membuat pilihan.

Ibu dan Jay memberi pandangan setiap kali saya bertanya sebelum memilih yang bersesuaian untuk dibeli. Hati sudah terpaut pada sebentuk cincin dan saya meminta peniaga mencari saiz yang tepat untuk jari saya.

Pada masa yang sama, saya mengeluarkan dompet di dalam beg hitam yang saya galas di bahu dan meletakkannya di atas satu daripada dulang cincin yang dikeluarkan.

Secara spontan, peniaga pula ghairah mengeluarkan dulang demi dulang aksesori dan meletakkan di depan saya. Ibu di kiri manakala Jay di kanan saya. Dua lagi peniaga di depan saya. Dalam sekelip mata, dompet yang saya letak di atas dulang aksesori hilang daripada pandangan. Umpama silap mata.

“Ibu nampak dompet Ana? Ana letak di sini.” Soal saya mula cemas.

“Eh mana pulak Ana letak dompet tadi?” balas ibu.

“Ana letak di sini tadi. Entah. Dah tak ada,” balas saya lagi.

“Kak Ana cari dalam beg. Betul ke dah keluarkan dompet tadi?” tanya Jay pula.

“Ye. Kak Ana ingat dah keluarkan dompet tadi,” balas saya pula.

Ibu dan Jay suruh saya memeriksa beg saya semula. Saya gelidah beg dan mengeluarkan segala barang di dalamnya tetapi dompet tidak ditemui.

Dengan penuh yakin saya mengatakan sudah mengeluarkan dompet itu dan meletakkannya di atas dulang cincin. Ibu dan Jay mencari di sekitar meja kaca yang menempatkan deretan aksesori dan jam tetapi gagal.

“Tak apalah. Bukan rezeki Ana. Kita balik hotel terus,” ucap saya lesu.

Semua jemaah perlu sentiasa berhati-hati ketika berziarah.

Ibu dan Jay tidak puas hati. Mereka bertanya pada peniaga di depan kami tetapi mereka mengatakan tidak tahu dan tidak nampak malah bertanya pula apakah warna dompet saya itu. kedua-dua peniaga itu adalah warga Bangladesh.

Mendengarkan pertanyaan ibu dan Jay pada peniaga, beberapa jemaah yang turut berbelanja di situ lantas bertanya dan ibu pun memaklumkan perkara yang berlaku. Mereka menasihatkan saya supaya mencari di tempat itu juga.

Ibu dan Jay menolak-nolak meja kaca beroda yang menempatkan himpunan aksesori. Suara ibu mula tinggi. Jay pula mula menyoal peniaga bertalu-talu tetapi mereka tetap mengatakan tidak tahu menahu serta tidak nampak saya mengeluarkan sebarang dompet atau duit.

“Berapa banyak dalam dompet tu?” tanya Ibu.

“Tak banyaklah. Nasib baik dah beli ‘top up’ SR50 tadi. Jika tak silap Ana, baki duit ada dalam SR120 saja,” balas saya.

Saya bingung seketika. Bukan duit yang saya fikirkan tetapi cara kehilangan dompet itu menyebabkan pelbagai persoalan bermain dalam fikiran kerana ia berlaku begitu pantas. Kami meninggalkan bazar itu tanpa membeli apa-apa pun.

Kami berjalan pulang ke hotel penginapan yang tidak jauh dari situ. Ibu dan Jay tetap tidak puas hati kerana asyik memperkatakan mengenai dompet yang hilang walaupun duit di dalamnya tidak banyak.

Tiba di dalam bilik hotel, saya duduk bersila di atas katil sambil termenung jauh.  Tiada siapa yang saya salahkan. Tiada sesiapapun yang menimbulkan kecurigaan dalam hati saya kerana menganggap ia berpunca daripada kecuaian dan kelalaian diri sendiri kerana begitu asyik melihat aksesori yang terhidang di depan mata.

Ibu dan Jay terus memperkatakan mengenai kehilangan dompet dan wang saya. Mereka menganggap ia seperti silap mata kerana berlaku tanpa disedari walaupun kedua-duanya berdiri di kiri dan kanan saya.

Jay mahu  mencari dompet itu semula di bazar hotel berkenaan tetapi saya mengatakan tidak perlu ke tempat itu lagi untuk membeli aksesori atau apa-apa sahaja. Saya agak fobia apabila melihat hotel itu dan enggan memasukinya lagi.

“Duit boleh cari… tak mengapalah. Biarkan, memang bukan rezeki Ana untuk beli cincin di tempat itu. Ana cari di tempat lain sahaja nanti,” ujar saya sebagai usaha untuk menenangkan hati Ibu dan Jay masih tidak puas hati kerana duit hilang dalam sekelip mata.

Ibu pula menceritakan pada rakan-rakan jemaah lain mengenai kehilangan dompet dan wang saya ketika menemui mereka sewaktu makan malam. Semua bersimpati dan meminta saya bersabar serta mengatakan pasti ada hikmah di sebalik kejadian itu. Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka atas simpati dan sokongan yang diberikan.

Penulis bersama ibu tersayang.

Alhamdulillah, tahun berikutnya, saya kembali semula ke Tanah Suci Makkah untuk mengerjakan ibadat umrah bersama-sama 19 jemaah dan kami menginap di Hotel Mira Ajyad. Saya tidak gentar.

Saya tidak fobia, malah kehilangan dompet dan wang tidak menghantui fikiran saya apabila dimaklumkan oleh pengendali agensi umrah bahawa saya dan jemaah lain akan menginap di hotel berkenaan.

Ketika kunjungan pada 2013 saya berbelanja di bazar hotel berkenaan tetapi tidak membeli aksesori yang berkilau dan menggamit pandangan, cukup sekadar mendapatkan bahan keperluan yang tidak sempat dibeli di Madinah seperti kekacang serta manisan.

Apapun yang berlaku sudah ditentukan oleh Allah. Sebagai insan yang serba kekurangan, berdoalah memohon agar tidak lalai dan leka. Jadikan setiap yang berlaku sebagai pengajaran dalam meniti kehidupan.

Baqi', Hotel Mira Ajyad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Susah Jadi Adi Putra

Artikel Lain