GEORGE TOWN: Seorang anggota polis maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah van kilang di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini Jumaat. Lans Koperal B. Sukumaran, 31, mati ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Bayan Baru di sini, beberapa jam selepas kemalangan pada 6.30 pagi itu. Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Lai Fah Hin berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan itu berlanggar dari arah hadapan menyebabkan mangsa tercampak dari motosikalnya dan mengalami kecederaan parah. "Mangsa mengalami kecederaan dalaman di bahagian kepala, perut, pecah pundi kencing selain patah serta luka kaki kanan," katanya ketika dihubungi di sini, Jumaat. Beliau berkata, mangsa yang masih bujang bertugas di Balai Polis Bayan Lepas sebelum dipinjamkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Januari 2013 dan sedang melakukan tugas khas ketika kejadian itu. Beliau berkata, mayat Sukumaran dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat dan akan menjalani upacara pengebumian di kampung halamannya di Melaka. Lai berkata, polis akan menahan pemandu van berusia 40-an untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.