KUALA LUMPUR: Tatacara baharu bagi pertimbangan pelan, garis panduan tambahan dan perubahan pada rumah kediaman akan mula dilaksanakan Jumaat depan (13 Mac), kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib. Katanya semua permohonan pembangunan rumah kediaman yang diterima oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada atau selepas tarikh tersebut akan diproses mengikut tatacara baharu itu. "Bagi pemilik rumah yang telah membina rumah tanpa memperoleh kelulusan secara bertulis melalui Pusat Khidmat Setempat (OSC) diingatkan supaya mengemukakan pelan untuk penyelarasan dan kelulusan sebelum 30 Jun tahun ini. "Ini bagi mengelakkan mereka dikenakan notis dan tindakan oleh pihak berkuasa DBKL jika tiada kelulusan," katanya ketika berucap merasmikan 'Sesi Pandangan Awam: Tatacara Baharu Perimbangan Pelan dan Garis Panduan Tambahan dan Perubahan Pada Rumah Kediaman' di Institut Latihan DBKL, di sini, Jumaat. Sesi pandangan awam itu diadakan bagi memperkenalkan satu penambahbaikan yang bertujuan memberikan kelonggaran yang lebih banyak dari segi anjakan khususnya untuk rumah teres satu tingkat, dua tingkat dan tiga tingkat di atas lot bersaiz tidak lebih daripada 18 kaki lebar dan 65 kaki panjang di Kuala Lumpur. Ahmad Phesal berkata tatacara itu tidak diguna pakai untuk kediaman jenis rumah bandar, rumah kluster, rumah berkembar, rumah banglo atau rumah kediaman di bawah hak milik berstrata. Katanya pelaksanaan tatacara baharu itu akan memberi kebaikan bukan sahaja kepada DBKL, bahkan kepada pemilik dan pihak berkepentingan yang terlibat. "Antara kebaikan adalah mempercepatkan proses pertimbangan dan pengeluaran keputusan (berhubung perubahan rumah) selain dapat membasmi gejala orang tengah dan rasuah kerana kriteria penilaian pembangunan, tarikh mesyuarat dan keputusan boleh diketahui secara terus," katanya. Proses kelulusan yang cepat secara tidak langsung dapat mengelakkan berlakunya pembinaan tanpa kebenaran di tapak, katanya. Timbalan Pengarah Jabatan Reka Bentuk Bandar dan Bangunan DBKL, Tumiran Sumari berkata pemilik rumah yang ingkar dengan arahan baharu tatacara itu akan didenda, namun jumlah kompaun atau jenis denda yang akan dikenakan masih dalam perbincangan.