suria

MH370: Anggota Keluarga Luah Perasaan Sedih Di Laman Sosial

KUALA LUMPUR: "8 March 2015 Selamat malam sayangku..Doaku akan menemani mu selalu walau kini kau jauh.."

Hanya kata-kata yang dapat menggambarkan kesayuan hati Intan Maizura Othman, isteri pramugara pesawat Malaysia Airlines MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, mengenangkan suaminya ketika genap setahun kehilangan pesawat itu.

Luahan rasa itu dicatatkan melalui akaun Twitternya @intanmaizura80 pada Ahad.

Beliau turut memuat naik gambar Mohd Hazrin melalui akaun Instagram miliknya @intanmaizuraothaman dengan nukilannya yang diakhiri bait: "Tidurlah sayangku ditemani Ilahi, Doa ku untukmu sentiasa dari hati, Ku berdoa bertemu kita di suatu hari, Janganlah dilupakan wajah-wajah kami".

Mendapat lebih 3,544 'like', Intan Maizura turut menerima kata-kata semangat daripada pengikut Instagramnya termasuk @atiqahrosnam yang berkata: "Semoga akak n anak2 tabah n redha dgn apa yg berlaku....".

Sementara itu, @sharifahnurfarahamirah berkata: "Akak, u are a very strong person indeed. Your husband will be so proud of you. Al fatihah" (Akak...akak seorang yang sangat tabah. Suami akak tentunya berbangga. Al Fatihah).

Kesedihan itu turut dikongsi Maira Elizabeth Nari, anak perempuan ketua pramugara pesawat itu, Andrew Nari, yang memuat naik gambar berlatarbelakangkan langit berwarna jingga di akaun Instagramnya semalam dengan tulisan #PRAYFORMH370.

Melalui posting itu, Maira Elizabeth turut mengimbas detik-detik terakhir bersama bapanya di samping meluahkan kekesalannya kerana enggan mengikut beliau ke lapangan terbang pada hari kejadian.

"I should have followed. I remembered the smile on his face before he closed the door."

("Saya sepatutnya ikut. Saya masih ingat senyuman di wajahnya sebelum dia menutup pintu."

Mesej yang diakhiri dengan kata-kata "We miss you, and we love you.Tremendously. May God protect each and everyone of you. Amen #RememberingMH370 #MH370AYearOn" (Kami merinduimu, dan kami menyayangimu. Teramat sangat. Moga Tuhan melindungi anda semua. Amen), mendapat lebih 1,373 'like'.

Maira Elizabeth turut menerima kata-kata perangsang daripada pengikutnya yang turut bersedih dengan kejadian itu antaranya @chenelisachenawawi yang mencatat: "Be strong gal, I'm sure your dad is so proud of how strong you are :)" (Bertabahlah. Saya yakin bapamu akan bangga betapa tabahnya kamu).

Sementara @nrznth pula berkata: "Ur such a strong girl, kak maira..stay strong always... our love  and  support will always be here for you, the family members of the crew  and  passengers of MH370" ("Anda seorang gadis bersemangat kental, kak maira... kuatkanlah semangat... kasih dan sokongan kami sentiasa buatmu, keluarga kru dan penumpang MH370).

Dalam pada itu, Maira Elizabeth melalui akaun Twitternya, @Gorgxous_ menggambarkan perasaannya yang penuh emosi mengenang nahas misteri itu dengan menulis: "An emotional night #MH370AYearOn" (Malam penuh emosi #MH370AYearOn).

Pada 8 Mac tahun lepas, Penerbangan MH370 bersama 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan tidak sampai setengah jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 12.41 pagi.

Artikel Lain