KUALA LUMPUR: Sekumpulan Ahli Parlimen pakatan pembangkang dilihat berpakaian serba hitam semasa hadir pada persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 pada Isnin. Tindakan tersebut dipercayai sebagai tanda protes terhadap keputusan Jabatan Penjara menolak permohonan pakatan pembangkang untuk membenarkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir ke Parlimen. Anwar dipenjarakan di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhairi Azlan pada 2008. Antara Ahli Parlimen yang berpakaian serba hitam ialah Tian Chua (Batu), Tony Phua (DAP - Petaling Jaya Utara), Wong Chen (PKR- Kelana Jaya) , Khalid Samad (PAS - Shah Alam), Teresa Kok (DAP - Seputeh) dan N.Surendran (PKR - Padang Serai). Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pula dilihat memakai baju Melayu serba hitam. Ketua Whip Parlimen PKR, Datuk Johari Abdul berkata keputusan berpakaian serba hitam hanyalah diatas kehendak Ahli Parlimen pakatan pembangkang. "Ia adalah pilihan Ahli Parlimen sendiri dan sebagai menunjukkan solidariti terhadap Anwar, " katanya. Dewan Rakyat akan bersidang selama sebulan bermula pada Isnin sehingga 9 April ini.