KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar akan mewakili bapanya untuk membacakan ucapan Ketua Pembangkang bagi membahaskan titah Di Raja di Dewan Rakyat pada Selasa. Perkara itu disahkan Nurul Izzah yang juga anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen pada Isnin. "Saya akan bacakan ucapan Ketua Pembangkang bagi menyampaikan suara Permatang Pauh (Anwar Ibrahim) di dalam dewan esok (Selasa)," katanya. Nurul Izzah yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, beliau tidak melihat wujud sebarang halang untuk mewakili Anwar kerana bapanya itu pernah diwakili Datuk Saifuddin Nasution sebelum ini. "Saya tidak rasa ada masalah melainkan ada halangan politik lain yang tidak menginginkan perkara itu berlaku," katanya. Selain itu, Nurul Izzah menegaskan, pakatan pembangkang akan menggunakan apa jua cara untuk memastikan Anwar dapat menghadiri sesi persidangan Dewan Rakyat pada kali ini. "Kami akan terus berusaha agar beliau diberikan ruang untuk hadir dalam sesi kali ini. Sementara itu, Ketua Whip PKR, Datuk Johari Abdul memberitahu, pemilihan Nurul Izzah untuk mewakili Anwar turut mendapat persetujuan rakan sekutunya. "Setakat ini hampir pasti beliau (Nurul Izzah) yang akan baca. Sekarang ini kami dalam proses nak maklumkan kepada Speaker mengenai perkara itu," kata Johari yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani. Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Atas sabitan dan hukuman penjara itu, pakar perundangan memberitahu tiada undang-undang yang membenarkan beliau hadir untuk menyampaikan ucapan bahasnya pada persidangan kali ini. Keluarga Anwar menghantar permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong mewakili beliau berhubung sabitan dan hukuman penjara lima tahun yang dikenakan terhadapnya pada saat akhir, 23 Februari lalu.