KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah semua pihak memahami sistem pemisahan kuasa di antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman yang diamalkan bagi sebuah negara demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Baginda bertitah, ketiga-tiga sistem tersebut telah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang. "Sebagai sebuah negara demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan, kita sentiasa berpegang kepada prinsip keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. "Beta menyeru agar semua pihak faham bahawa sistem pemisah kuasa di antara badan eksekutif, legislatif dan kehakiman telah dilaksanakan mengikut lunas undang-undang," titah baginda ketika perasmian Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat pada Isnin. Justeru itu baginda bertitah, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan hendaklah dipatuhi dan tidak dipersoalkan manakala agama-agama lain bebas diamalkan. Seri Paduka bertitah, perbezaan pandangan dalam isu-isu keagamaan perlu dirujuk kepada pihak berkuasa dan tidak wajar dipolemikkan. "Konsep kebebasan bersuara juga hendaklah diamalkan dengan bertanggungjawab dan tidak menimbulkan sebarang ketegangan dalam kalangan rakyat,” titah baginda. Sementara itu, baginda bertitah agar segelintir pihak yang cuba menggugat perpaduan dengan menyebarkan fitnah di kalangan masyarakat termasuk di media sosial supaya menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu. "Hentikan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pihak terbabit," katanya