KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan tindakan Ketua Polis Negara (KPN) yang mengeluarkan arahan penangkapan melalui Twitter dengan berkata ia 'tidak bermotif politik'. Beliau berkata pihak polis telah bertindak secara profesional. "Kementerian Dalam Negeri berpendapat bahawa tindakan yang diambil oleh Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) adalah untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai langkah-langkah yang diambil oleh pasukan keselamatan, tidak mempunyai motif politik atau bertujuan menakutkan sesiapa," kata Ahmad Zahid dalam jawapan bertulis kepada Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah). "Polis menggunakan Twitter memaklumkan kepada umum sebarang perkara yang boleh membimbangkan rakyat dan kejayaan yang dicapai PDRM. "Pengumuman itu tidak melanggar undang-undang dan peraturan yang ada sekarang dan ia cepat dan mudah disebarkan," kata Ahmad Zahid. Kit Siang mempersoalkan Ahmad Zahid mengenai tindakan Khalid menggunakan Twitter dalam mengenakan tindakan terhadap aktivis, pemimpin pembangkang dan orang ramai. Kit Siang berkata, KPN telah menyalahgunakan platform media sosial dan menimbulkan ketakutan apabila secara umum mengarahkan pihak polis mengambil tindakan terhadap individu tertentu. Ahmad Zahid berkata terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab dengan kepentingan peribadi telah menyalahgunakan media untuk mempengaruhi dan menghasut pihak lain sehingga sampai ke tahap di mana ia boleh menjejaskan keselamatan negara. Beliau menasihatkan semua pihak supaya tidak mencetuskan sentimen perkauman atau keagamaan. Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia S. Arutchelvan, kartunis politik Zulkiflee SM Anwar Ulhaque atau Zunar, dan peguam Eric Paulson adalah antara aktivis yang ditahan kerana menghasut selepas menulis tweet.