KUCHING: Seorang lelaki berumur 22 tahun ditemui mati, dipercayai selepas terjatuh dari bangunan empat tingkat di Tabuan Tranquility Commerial Centre, Jalan Canna di sini awal pagi Rabu. Lelaki itu yang berasal dari Sadong Jaya, Samarahan, dikatakan datang ke Kuching untuk menghadiri temuduga kerja di sebuah pasar raya di sini, Selasa. Disebabkan sudah lewat petang, mangsa mengambil keputusan untuk bermalam di bilik sewa seorang kawannya di bangunan kedai empat tingkat itu. Menurut rakan mangsa, pada jam 10.15 malam selepas minum bersama-sama beberapa rakan lain di koridor bilik sewa itu, kesemua mereka masuk tidur tetapi mangsa terus duduk bersendirian di situ. "Pada kira-kira jam 11 malam saya nampak mangsa berbaring di atas lantai koridor dan menyuruh dia masuk bilik untuk tidur tetapi dia tidak peduli dan terus mahu berada di koridor," kata rakannya itu. Katanya, kira-kira jam 12 tengah malam dia terdengar bunyi benda jatuh namun tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah anggota polis sampai dan memberitahu yang mangsa terjatuh dari bangunan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.