suria

Visa Percuma Kepada Penjawat Awam China Untuk Galak Pelancongan

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
KOTA TINGGI: Kerajaan meluluskan pemberian visa percuma kepada penjawat awam dari China sebagai usaha menggalakkan sektor pelancongan negara ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata kelulusan itu diputuskan kerajaan minggu lepas yang diyakini dapat meningkatkan kehadiran pelancong dari negara berkenaan ke Malaysia.

"Kita luluskan visa 'free' kepada kakitangan kerajaan negara China kerana China telah berikan pengecualian fi visa kepada pegawai Malaysia yang melawat China," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Muzium Kota Johor Lama, di sini, Rabu.

Mohamed Nazri berkata mengikut rekod, terdapat seramai 23 juta orang penjawat awam di negara China.

"Memandangkan mereka adalah kakitangan awam, maka, kalau mereka datang ke negara ini, sudah tentulah mereka adalah pelancong yang selamat yang tidak ada sebab untuk kita bimbangkan," katanya.

Menurut Mohamed Nazri, Malaysia memerlukan tambahan kemasukan dua juta pelancong tahun ini bagi mencapai sasaran 29.4 juta kemasukan pelancong berbanding 27.4 juta, tahun lepas. 

Kerajaan mulai 15 Februari lepas sudah meluluskan pengecualian bayaran fi visa pelancong China ke negara ini.

Sementara itu, Mohamed Nazri berkata daerah Kota Tinggi yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan terutamanya alam sekitar dan sejarah perlu sentiasa dipromosikan dalam menarik lebih ramai pengunjung khususnya rakyat Singapura.

Beliau berkata kementeriannya akan memberikan sokongan dalam meningkatkan potensi pelancongan Kota Tinggi termasuk menubuhkan sekretariat yang membantu membangunkan pelancongan di daerah itu seperti yang dicadangkan Pegawai Daerah itu, Mohd Noorazam Osman.

"Kita melihat rakyat Singapura merupakan penyumbang terbesar ke Kota Tinggi kerana kedudukan yang berdekatan.

"Kita perlu menggiatkan promosi dan memperkenalkan pakej pelancongan yang sesuai kepada mereka," katanya.

Terdahulu, Nazri melawat Lotus Desaru Beach Resort, Desaru Damai Beach Resort serta Desaru Fruit Farm.

Artikel Lain