suria

Polis Kesan Dua Individu Terlibat IS Melalui Ibadah Umrah

Tan Sri Khalid Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Polis mengesan dua individu yang disyaki menggunakan alasan hendak mengerjakan ibadah umrah sebelum menyertai kumpulan militan IS.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata mereka menggunakan agensi umrah bertujuan memudahkan pergerakan serta mengaburi pihak berkuasa.

"Setakat ini kami kesan dua kes yang mana mereka gunakan alasan untuk mengerjakan umrah tetapi hakikatnya untuk menyertai IS.

"Mereka ini pergi bukan untuk tujuan agama dan berjihad pun...bayangkan kalau ibadah umrah mereka boleh permainkan," katanya.

Ditemui pemberita selepas menyampaikan surat penghargaan kepada pengguna jalan raya berhemah dan kontinjen/daerah polis terbaik Op Selamat 6/2015 bersempena Tahun Baharu Cina di sini pada Rabu, Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai identiti individu berkenaan.

Khalid seterusnya berkata polis setakat ini percaya agensi umrah berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan penglibatan individu terbabit dalam IS.

Menurutnya, perkara itu perlu diatasi secara holistik termasuk melalui aspek perundangan.

Beliau berkata polis mengenal pasti lebih 50 rakyat Malaysia yang berada di Syria menyertai IS manakala lebih 70 lagi ditahan termasuk mereka yang cuba meninggalkan negara ini dan yang telah kembali semula ke tanah air.

Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin baru-baru ini mendedahkan terdapat individu yang merancang menyertai IS melalui ibadah umrah, dan maklumat itu diperoleh hasil perkongsian maklumat dengan negara-negara tertentu termasuk anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Dalam perkembangan lain, Khalid berkata polis akan memanggil Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy berhubung kenyataan berbaur perkauman di laman sosial.

"Saya dimaklumkan itu adalah Twitter lama, tetapi kami tetap akan siasat sama ada itu tweet lama atau baharu. Kami akan panggil dia dan siasat dahulu," katanya.

Khalid berkata pemimpin masyarakat perlu lebih berhati-hati sebelum membuat kenyataan khususnya di laman sosial memandangkan mereka mempunyai pengikut.

"Mereka ini ada pengikut jadi kenalah lebih berhati-hati... bimbang kalau-kalau berlaku kekecohan sekiranya ia disalah tafsir oleh pengikut," katanya.

Artikel Lain