suria

Lima 2015: Boeing Pamer Sistem Pertahanan

KUALA LUMPUR: Pesawat Pengawasan Maritim (MSA) dan jet pejuang F/A-18E/F Super Hornet merupakan antara sistem pertahanan utama Boeing yang akan dipertontonkan di Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) dari 17-21 Mac, 2015.

Keupayaan lain yang akan dipamerkan termasuklah helikopter peninjau/serangan ringan AH-6I serta sistem pesawat tanpa pemandu, ScanEagle yang dibangunkan oleh anak syarikatnya, Insitu Pacific, kata Boeing dalam satu kenyataan.

MSA keluaran syarikat itu memiliki keupayaan termaju, terbukti, perisikan di lapangan sebenar, pengawasan dan peninjauan yang terkini.

Dibina di atas platform pesawat Bombardier Challenger, pesawat itu baharu sahaja selesai ujian penerbangan dan daratan, ia dicipta khusus untuk memantau pantai yang panjang, mencari dan menyelamat untuk satu tempoh yang lama serta melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan.

Ruang dalaman pesawat itu akan dibuka untuk lawatan petugas media, mereka  boleh merasai sendiri pengalaman bekerja di stesen kerja MSA yang dilengkapi dengan paparan dua skrin, sekaligus menunjukkan MSA mengadaptasi teknologi komersil dan pertahanan terbaharu untuk keupayaan maksimum, katanya.

Pesawat F/A-18E/F Super Hornet boleh beroperasi dengan lancar bersama armada  F/A-18D Hornet sedia ada dalam inventori Tentera Udara Diraja Malaysia dan ini akan meningkatkan keberkesanan kombat pesawat dalam operasi bersama.

"Malaysia kini sedang membuat penilaian ke atas Super Hornet untuk kepeluan pesawat tempur pelbagai guna.

"Para pegawai dari Angkatan Tentera Malaysia, pemimpin kerajaan dan anggota perwakilan ASEAN akan dapat melihat sendiri pesawat MSA, Super Hornet dan helikopter AH-6I untuk lebih memahami keupayaan yang kami tawarkan kepada para pelanggan kami.

"Keberkesanan misi, kebolehpercayaan operasi dan sokongan terbaik dalam industri bagi produk Boeing diiktiraf di seluruh dunia.

"LIMA menyediakan persekitaran yang sesuai bagi mempersembahkan tawaran pertahanan, pengawasan maritim, mencari dan menyelamat serta bantuan kemanusiaan kepada pucuk pimpinan ASEAN," kata Naib Presiden, Asia Timur  and  Pasifik,  Pembangunan Perniagaan Antarabangsa untuk Pertahanan, Udara  and  Keselamatan, Jim Armington dalam satu kenyataan.

Dua pesawat F/A-18E/F Super Hornets dan pesawat pengawasan maritim P-8A  tentera laut Amerika Syarikat (AS) serta dua pesawat F-15C/D Eagles milik tentera udara AS akan berada di Langkawi sebagai sebahagian daripada pameran statik Boeing.

Boeing

Artikel Lain