suria

Jihad IS Bukan Jalan Pintas Masuk Syurga - Kagat

KUALA LUMPUR: Jihad palsu tawaran kumpulan militan IS bukanlah jalan pintas untuk masuk ke syurga, kata Pengarah Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) Brig Jen Datuk Kamaruddin Hajat.

Beliau berkata ini kerana jihad yang dinyatakan oleh kumpulan itu adalah berasaskan tafsiran songsang Al-Quran dan hadis.

Sejak kebelakangan ini, ramai umat Islam di negara ini terpengaruh dengan dakwaan 'Jihad Fisabilillah' yang ditawarkan oleh IS sehingga ada yang sanggup meninggalkan pekerjaan, anak isteri dan keluarga semata-mata untuk berjihad di Syria dengan harapan dapat mati Syahid di sana.

Beliau berkata kurang kefahaman tentang maksub sebenar jihad menjadi punca  orang ramai membuat keputusan 'membabi buta' setelah terpengaruh dengan propaganda IS bagi meraih sokongan perjuangan sesat mereka.

"Kedudukan Syahid tidak boleh dicapai secara tindakan membunuh diri atau membunuh nyawa yang tidak berdosa dengan menyertai perjuangan IS yang secara jelas bertentangan dengan ajaran agama Islam baik dari segi akidah mahu pun syariat," katanya.

Kamaruddin berkata niat jihad yang sebenarnya ialah ikhlas kerana Allah SWT sedangkan jihad IS lebih bermotifkan untuk membalas dendam dan untuk kepentingan pihak tertentu sahaja.

"Matlamat tidak akan menghalalkan cara, di dalam perjuangan jihad IS mereka tidak mengambil kira larangan yang telah digariskan oleh Islam ketika berperang  dengan bertindak kejam membunuh orang awam, wanita, kanak-kanak dan tawanan perang dengan sesuka hati.

"Malah IS turut memusnahkan harta benda awam termasuk rumah ibadat seperti masjid dan gereja semata-mata dengan alasan pihak tersebut tidak menyokong atau  sependapat dengan perjuangan mereka," katanya.

Kamaruddin berkata maksub jihad dari segi syarak ialah berjuang dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu matlamat dalam menegakkan agama Allah yang merangkumi pengorbanan nyawa, kesanggupan membelanjakan harta, mengerahkan segala masa, tenaga dan pemikiran semata-mata untuk jalan Allah SWT.

Jihad, IS, Kagat

Artikel Lain