SYDNEY: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes menyatakan beliau tidak akan berhenti mencari mayat penumpang pesawat, QZ8501 yang terhempas di perairan Jawa pada tahun lalu dan menyatakan pencarian akan diteruskan dalam masa seminggu lagi. Lebih 100 mayat dan kotak hitam telah dijumpai sejak penerbangan dari Surabaya, Indonesia ke Singapura yang membawa 162 penumpang itu terhempas akibat cuaca. "Apa yang ingin saya sampaikan ialah jangan berputus asa. Ahli keluarga mangsa tahu usaha ini kerana saya sering berhubung dengan mereka setiap hari," kata beliau kepada pemberita di Sydney sambil memberitahu kira-kira 60 mayat masih belum ditemui termasuk juruterbang. "Kami berjaya dalam operasi pencarian di laut dan penemuan 50 peratus ini dianggap satu kejayaan besar." Namun begitu, beliau juga menyatakan usaha pencarian ini akan mengambil masa yang lama. "Kami telah memaklumkan kepada keluarga mangsa yang pencarian ini mengambil tempoh masa tertentu kerana bukan mudah untuk menemui mayat mangsa," katanya. "Ini amat penting bagi keluarga terlibat memahami situasi yang kami hadapi dan tidak mendesak untuk mencari mayat tersebut. "Boleh dikatakan tujuh hingga 10 hari operasi penuh akan dijalankan dan kemungkinan operasi akan berhenti setakat ini sahaja," katanya. Fernandes tidak menyatakan mengenai maklumat mayat terakhir yang dijumpai tetapi pihak berkuasa Indonesia melaporkan penemuan baki mayat beberapa minggu kebelakangan ini. Jawatankuasa Keselamatan dan Pengangkutan Indonesia telah mendapat informasi berhubung dengan saat-saat terakhir sebelum pesawat tersebut terhempas. Didapati pesawat berada pada ketinggian 32,000 kaki, bergerak sehingga 37,000 kaki lalgi dalam masa 30 saat dan kemudiannya kembali semula pada 32,000 kaki untuk mengelak ribut dan terus menjunam ke dasar laut. Indonesia akan mengeluarkan laporan akhir siasatan berhubung kes pesawat terhempas ini pada Ogos hadapan, kata Menteri Pengangkutan. Fernandes yang berada di Australia ketika ini mengumumkan penerbangan baru dari negara itu ke Indonesia dan mempromosikan AirAsia X serta menyatakan beliau akan mengkaji semula langkah-langkah operasi dan keselamatan. "Tidak ada jaminan bahawa AirAsia akan bebas daripada sebarang kemalangan seperti yang saya maklumkan sebentar tadi, apa yang boleh kita laksanakan ialah mengurangkanya sebaik mungkin," tambah beliau. "Kami akan menjadi telus dan bersifat terbuka serta akan terus bekerja keras untuk hal ini.. kami bertanggungjawab kepada semua ahli keluarga mangsa dan apa yang boleh kami berikan yang terbaik akan kami lakukannya, " ujarnya. Fernandes berkata AirAsia masih dalam perancangan untuk mengembangkan operasinya di Indonesia, dengan menggunakan Bali sebagai hab antara penerbangan dari Australia ke utara Asia. - AFP