Beliau berkata mangsa dikenali sebagai Koperal Hasmadi Hasnan, 32, anggota di Pos Kawalan PGA Tanjung Pasir di sini.
Mayatnya ditemui penduduk kampung jam 5 pagi setelah dilaporkan hilang sejak Rabu.
Katanya kehilangan mangsa disedari selepas isterinya, berusia 29 tahun datang ke pos kawalan PGA Tanjung Pasir semalam, untuk memastikan suaminya berada di situ selepas keluar dari rumah untuk balik ke pos kawalan itu Selasa lepas pada pukul 2 petang.
Laporan yang diterima menunjukkan Isnin lepas, mangsa balik ke rumahnya di Tanjung Aru dari pos kawalan PGA Tanjung Pasir dan dihantar dengan menaiki sebuah bot oleh rakan setugasnya serta memaklumkan akan kembali bertugas semula pada keesokan harinya (Selasa), katanya kepada Bernama di sini.
Fadzil berkata kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Bagaimanapun siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.
Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Duchess Of Kent Sandakan dan diserahkan kepada anggota keluarga untuk urusan pengebumian di Tanjung Aru.
Hasmadi yang berasal dari Perak meninggalkan isteri dan seorang anak lelaki berusia tiga tahun.