suria

Ops Sarang Jerat 52 Lelaki

KEPALA BATAS: Seramai 52 lelaki termasuk 31 penagih dadah ditahan dalam Ops Sarang di sekitar Kuala Muda dan Kuala Bekak, di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Abdul Rahman Ibrahim berkata operasi lima jam setengah bermula 5 pagi itu melibatkan 45 pegawai dan anggota polis daerah SPU dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang.

"Pelbagai kawasan yang menjadi sarang dadah di sekitar kawasan berkenaan terutama lokasi yang selalu dijadikan sarang dadah diperiksa dalam operasi yang berakhir pukul 10.30 pagi ini," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata semasa serbuan terdapat beberapa lelaki cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam sungai di Kuala Muda.

Abdul Rahman berkata hasil saringan air kencing mendapati 31 individu positif dadah manakala selebihnya didapati memiliki dadah, air ketum dan dikehendaki polis berkaitan kes dadah.

10 orang adalah penagih tegar dan pernah ditangkap beberapa kali bagi kes sama, katanya sambil memberitahu kesemua yang ditahan itu berusia antara  20 dan 56 tahun dan kini direman bagi membantu siasatan.

"Kebanyakan mereka yang ditahan itu ialah nelayan di sekitar kawasan Kuala Muda dan alasan mereka (menggunakan dadah) adalah untuk lebih bertenaga ketika turun ke laut untuk menangkap ikan," katanya.

Ops Sarang, Penagih Dadah

Artikel Lain