suria

Tiada Pelajar UIA Terlibat Aktiviti Militan IS - Rais

Tan Sri Dr Rais Yatim
KUALA LUMPUR: Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Tan Sri Dr Rais Yatim menegaskan tiada seorang pun daripada 25,726 pelajar universiti itu terbabit dengan kegiatan berkaitan kumpulan militan IS.

"UIA tidak terlibat...tidak ada mana-mana daripada 25,726 pelajarnya yang terlibat dengan militan yang disebut sebagai IS ini," katanya ketika ditemui pemberita ketika menghadiri raptai penuh Konsert Muzika Nusantara di Istana Budaya di sini Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat penuntut dari universiti itu yang terlibat dengan kegiatan kumpulan militan tersebut.

Rais yang juga Penasihat Khas Sosiobudaya kepada kerajaan turut mengingatkan para ibu bapa agar memainkan peranan penting dalam mengekang anak-anak mereka daripada terlibat dengan kegiatan keganasan sama ada di Syria atau negara-negara lain, dan tidak hanya mengharapkan kerajaan semata-mata.

Sementara itu, katanya, lebih 2,000 penonton dijangka memenuhi Panggung Sari, Istana Budaya, malam esok (13 Mac) dan Sabtu (14 Mac) bagi menyaksikan Konsert Muzika Nusantara bertemakan 'Senadi Dalam Seni' yang menggabungkan persembahan muzik dan puisi pelbagai suku bangsa serta etnik Melayu.
Tan Sri Dr Rais Yatim, UIA, IS

Artikel Lain