ALOR SETAR: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut dari sebuah bot nelayan di Perairan Tanjung Jaga, Pulau Bidan dekat Yan, pagi Sabtu. Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Yan Mohd Firdaus Bukari berkata lelaki berusia 35 tahun itu terjatuh ke dalam laut ketika hendak membaiki papan di bahagian belakang bot yang dinaiki bersama rakan yang lain. Usaha mencari mangsa sedang dijalankan dengan bantuan pasukan penyelam Skuba, katanya ketika dihubungi Bernama di sini. Katanya, pihaknya menerima panggilan pada 9.58 pagi tadi dan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Yan dan lima penyelam dari unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani bergegas ke tempat kejadian.