MUAR: Seramai 26 pasangan pada Isnin melangsungkan perkahwinan beramai-ramai pada Majlis Walimatulurus Perdana di Masjid Sultan Abu Bakar. Para peserta turut membabitkan pasangan dari negeri lain seperti Kedah, Melaka dan Negeri Sembilan. Kadi Daerah Muar, Dzulkafli Mohamed berkata majlis sebegini dapat meringankan beban serta memudahkan pasangan melangsungkan perkahwinan. "Setiap pasangan hanya dikenakan bayaran RM1,900," katanya kepada pemberita. Promosi programnya disebarkan menerusi risalah, banting, kursus dan Facebook. Seorang pesertanya Radiah Jasa, 21, dari Ledang berkata pakej perkahwinan anjuran Pejabat Kadi Daerah Muar itu menjimatkan dan membantunya mendirikan rumah tangga lebih awal daripada perancangan. Bagi pengantin termuda Norazlina Faezzlin Radzali, 17, dia teruja menjadi peserta program tersebut yang majlis itu akan menjadi kenangan seumur hidup buatnya dan suami. Ditanya mengapa berkahwin di usia muda, dia berkata "ia mungkin sudah jodohnya," di samping bagi memenuhi saranan bapanya. Sementra itu Ummu Syahirah Amferin, 23, dari Parit Raja dan pasangannya turut bersyukur kerana dapat menyertai majlis itu. "Sepatutnya kami berkahwin tahun depan. Kami akan mengadakan lagi majlis tetapi secara kecil-kecilan di kampung kemudian," katanya.