suria

Blueprint Sektor Perkhidmatan Langkah Strategik Tingkat Produktiviti

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) melancarkan Blueprint Sektor Perkhidmatan dan Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan di Kuala Lumpur, Isnin. Turut kelihatan (dari kiri) Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri. -fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin melancarkan Blueprint Sektor Perkhidmatan dan Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan yang menggariskan langkah strategik untuk meningkatkan sumbangan bidang itu kepada ekonomi negara.

Najib berkata sektor perkhidmatan merupakan peneraju utama ekonomi dan penjana penting peluang pekerjaan negara yang telah menyumbang 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2014 dan menyediakan 8 juta pekerjaan.

"Pada tahun 2020, sumbangan sektor ini kepada KDNK dijangka meningkat kepada 58 peratus dengan pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus setahun bagi tempoh 2016 hingga 2020," katanya semasa berucap pada majlis pelancaran blueprint tersebut di Parlimen, Isnin. 

Beliau berkata eksport perkhidmatan juga telah meningkat sebanyak enam peratus setahun dan menyumbang 15 peratus daripada jumlah eksport negara.

Menurutnya, produktiviti sektor perkhidmatan negara masih mempunyai ruang pertumbuhan jika dibandingkan dengan negara-negara yang mempunyai tahap ekonomi setanding Malaysia.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Blueprint Sektor Perkhidmatan menggariskan beberapa perubahan merentasi sektor melalui empat dasar utama termasuk pengantarabangsaan firma-firma perkhidmatan dan pengurusan insentif pelaburan yang berkesan.

Turut digariskan peningkatan pembangunan modal insan dan pembaharuan tadbir urus sektoral yang bersepadu.

Menurut Perdana Menteri, sebanyak 29 pelan tindakan akan dilaksanakan untuk menyokong empat dasar utama itu, yang mana 11 daripadanya akan merangsang eksport perkhidmatan.

Beliau berkata walaupun subsektor pelancongan merupakan penyumbang penting kepada eksport perkhidmatan, subsektor berintensifkan pengetahuan seperti perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), pendidikan swasta, penjagaan kesihatan, pembinaan dan perkhidmatan profesional yang mempunyai potensi besar untuk memacu pertumbuhan eksport akan diberikan tumpuan.

"Pada masa sama, fokus diberikan kepada industri logistik yang mempunyai jaringan kukuh dengan sektor-sektor ekonomi yang lain," katanya.

Perdana Menteri turut menggesa pihak industri agar memanfaatkan inisiatif Blueprint itu seperti yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2015, Oktober lepas, yang boleh diakses mulai April 2015.

Antara inisiatif itu termasuk menyediakan Skim Jaminan Sektor Perkhidmatan berjumlah RM5 bilion, Skim Insentif Penyelidikan untuk Syarikat (RM10 juta), Dana Perkhidmatan Eksport (RM300 juta) dan Skim Pembangunan Francais (RM20 juta).

Sementara itu, Najib berkata Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan dirangka bagi menyediakan hala tuju strategik untuk meningkatkan kecekapan ekonomi dan merangsang eksport.

Katanya lokasi negara yang strategik, jaringan hubungan serantau dan infrastruktur pengangkutan yang baik serta kestabilan ekonomi menjadikan Malaysia berpotensi besar sebagai pusat logistik serantau.

Perdana Menteri berkata pelaksanaan pelan itu yang menggariskan lima hala tuju strategik dijangka menjana 146,000 peluang pekerjaan baharu yang kebanyakannya berkemahiran tinggi menjelang 2020.

Katanya bagi mempercepatkan pelaksanaan Pelan Induk itu, sebagai langkah awal, RM300 juta telah diperuntukkan untuk tujuan menambah baik sambungan peringkat akhir ke Pelaburan Klang dan sebanyak RM12 juta untuk menaik taraf terminal kereta api Padang Besar.


Najib berkata usaha-usaha transformasi yang digariskan dalam Blueprint Sektor Perkhidmatan dan Pelan Induk Logistik dan Fasilitasi Perdagangan membuktikan kesungguhan kerajaan dalam meningkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat.

Artikel Lain