suria

Permohonan Najib Berhubung Saman Fitnah Terhadap Malaysiakini Didengar 6 Mei

- Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menetapkan 6 Mei untuk mendengar permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak dan setiausaha kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh untuk membuang beberapa perenggan daripada kenyataan tuntutan balas dan bela diri Malaysiakini serta dua yang lain berhubung satu saman fitnah. 

Peguam Nor Hazira Abu Haiyan, mewakili Najib dan Ab Rauf, memberitahu pemberita Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Norfauzani Mohd Nordin menetapkan tarikh itu apabila perkara berkenaan dibawa kepada beliau untuk pengurusan kes.

Nor Hazira berkata permohonan yang difailkan pada 28 Januari itu, antara lain, dibuat dengan alasan tuntutan balas dan bela diri itu bersifat remeh, menyusahkan dan menyalahguna proses mahkamah.

Najib dan Ab Rauf memohon membuang lebih 50 perenggan daripada kenyataan tuntutan balas dan bela diri itu.

Perdana menteri memfailkan saman itu pada 30 Mei tahun lepas atas kedudukan peribadi beliau, manakala Ab Rauf, bagi pihak Umno, terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd, ketua pengarang Malaysiakini.com Steven Gan dan ketua ketua editor Fathi Aris Omar.

Mereka mendakwa defendan telah melaporkan, menerbitkan dan membenarkan tersiarnya pada 14 Mei dua artikel berkenaan dalam ruangan 'Yoursay' www.malaysiakini.com.

Najib dan Ab Rauf berkata defendan secara sengaja membenarkan penyiaran artikel itu, walaupun mengetahui ia mengandungi tuduhan tidak berasas dan tidak benar.

Mereka mendakwa perkataan berbaur fitnah, yang terkandung dalam artikel itu, mencemar nama baik Najib sebagai ahli politik, presiden UMNO dan perdana menteri.

Kedua-dua plaintif berkata komen yang disiarkan membayangkan secara sarkastik bahawa UMNO tidak mempunyai kecekapan sebagai sebuah badan politik dan tulang belakang Barisan Nasional (BN).

Mereka mendakwa, akibat tersiarnya artikel itu, nama baik mereka tercemar teruk apabila UMNO dikutuk, terutama dalam media sosial dan media massa.

Mereka menuntut ganti rugi teruk, melampau, am dan khas, faedah serta satu perintah bagi menghalang defendan atau pembantu mereka daripada menerbitkan artikel berkenaan.

Plaintif juga memohon agar defendan membuat permohonan maaf secara bertulis melalui akhbar, dan kos. 




Artikel Lain