SANDAKAN: Sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) dianggap lebih efektif untuk meningkatkan keberkesanan kos dan dapat mengurangkan kerenah birokrasi dalam sistem pengurusan pentadbiran cukai negara. Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Zakaria Mohd Edris berkata pelaksanaan CBP mempunyai kesan yang positif terhadap kecekapan dan daya saing ekonomi negara berikutan kos menjalankan perniagaan di bawah sistem CBP lebih rendah berbanding sistem percukaian semasa. "Keadaan ini akan memberi kelebihan kepada pihak peniaga untuk bersaing secara lebih kompetitif khususnya di pasaran eksport," katanya ketika merasmikan Program Kesedaran Kepenggunaan CBP anjuran Majlis Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Parlimen Libaran di sini, Ahad malam. Zakaria, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Gum-Gum, berkata CBP tidak akan membebankan rakyat berikutan kadar dikenakan adalah sebanyak enam peratusia itu lebih rendah daripada kadar cukai jualan dan perkhidmatan semasa sebanyak 10 peratus. "Jangan terpedaya dan percaya dengan dakyah pihak tertentu bahawa CBP membebankan rakyat tetapi sebaliknya CBP adalah untuk mengurangkan beban rakyat. Semoga dengan penjelasan dan penerangan pada taklimat CBP akan memberi kita kefahaman dan terbuka menerima sebarang perubahan dan pembangunan yang disediakan kerajaan demi masa depan negara khususnya rakyat," katanya. Zakaria berkata berikutan CBP akan dikenakan ke atas semua barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan dalam negara termasuk barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan atau yang diimport ke Sabah mulai 1 April, adalah penting untuk rakyat memahami dan mengetahui secara lebih mendalam berhubung kaedah serta mekanisme pelaksanaannya. Beliau berkata ia bagi mengelakkan isu CBP terus dieksploitasi pihak tertentu yang cuba mempengaruhi dan memesongkan pemahaman rakyat berkaitan isu ini untuk kepentingan mereka. "Saya percaya, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, prihatin dan sentiasa menjuarai nasib rakyat, golongan yang berpendapatan rendah tidak akan dibebankan dengan CBP,” kata Zakaria.