suria

Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN Bermesyuarat Di Langkawi

Hishammuddin Tun Hussein (lima,kanan) bergambar kenangan bersama menteri pertahanan dari pelbagai negara sekitar Asia pada Majlis Makan Malam Sempena Mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan Asia kesembilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) pada Isnin. Foto:BERNAMA

LANGKAWI: Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Isnin mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) ke-9 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi di sini. 

Mesyuarat dihadiri rakan sejawatan beliau, Kol (B) Datuk Seri Mohammad Yasmin Umar (Brunei Darussalam); Ken Tea Banh (Kemboja); Jen (B) Ryamizard Ryacudu (Indonesia); Lt Jen Sengnouane Sayalath (Laos); Lt Jen Wai Lwin (Myanmar); Voltaire T Gazmin (Filipina); Dr Ng Eng Hen (Singapura); Jen Prawit Wonsuwon (Thailand) dan Jen Phung Quang Thanh (Vietnam) di samping Setiausaha Agung ASEAN Le Luong Minh.

Mesyuarat pegawai kanan dan kumpulan kerja diadakan pada Ahad.

Di akhir mesyuarat itu, kesemua ketua delegasi dijadual menandatangani deklarasi bersama Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN mengenai 'Mengekalkan Keselamatan dan Kestablian Serantau Bagi dan Oleh Rakyat'.

Hishammuddin, ketika ditemui pemberita semalam, berkata mesyuarat hari inidijangka mencapai persefahaman dalam menangani kekangan anggota ASEAN khususnya dalam mendepani ancaman kumpulan militan IS.

Beliau berkata mesyuarat itu akan meneliti kaedah untuk menyatukan pendirian negara anggota dalam sebarang keadaan.

"(Mesyuarat akan membincangkan) cara negara anggota dapat memastikan ASEAN sebagai sebuah entiti menjadi jambatan untuk menghubungkan kita, sama ada semasa aman atau dalam konteks ketika kita berurusan dengan tragedi atau bencana,"katanya. 

ADMM diadakan di sini bersempena Pameran Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 yang bermula pada Selasa. -BERNAMA

Artikel Lain