suria

34 Pati Warga Indonesia Ditahan Di Sungai Petani

Gambar hiasan.

ALOR SETAR: Sebanyak 34 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Kedah atas pelbagai kesalahan menerusi 'Ops Pintu' di Taman Ria, Sungai Petani, awal pagi Isnin.

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata 20 lelaki dan 14 wanita berumur antara 20 dan 50 tahun ditahan kerana tidak memiliki dokumen yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini.

Beliau berkata operasi tiga jam bermula 1 pagi itu disertai 15 pegawai Imigresen telah melakukan pemeriksaan di beberapa buah rumah yang menjadi tempat tinggal PATI berkenaan.

Katanya ketika serbuan, beberapa PATI cuba melarikan diri melalui pintu belakang rumah dan ada yang cuba bersembunyi di dalam almari pakaian bagi mengelak dicekup penguatkuasa Imigresen.

"Kesemua PATI yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana tiada dokumen dan tinggal lebih masa di negara ini," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohamad Yusri berkata PATI yang ditahan ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depoh Imigresen Belantik, Sik.

PATI, Imigresen, Sungai Petani

Artikel Lain