SEGAMAT: Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel berkeyakinan untuk mempertahankan jawatannya pada pemilihan presiden parti Mei ini. Beliau berkata ia berikutan sokongan padu yang diperolehnya ketika bertemu dengan ketua cawangan MIC di seluruh negara, termasuk kira-kira 300 cawangan di Johor. "Saya sudah buat lawatan ke tiap-tiap negeri untuk bertemu dengan lebih 4,000 orang ketua Cawangan MIC termasuk pada hari ini (Ahad). "Menerusi perjumpaan yang sudah saya lakukan sebelum ini, saya menjangkakan untuk memperoleh sokongan kira-kira 2,500 cawangan di seluruh negara," katanya ketika majlis beramah bersama presiden MIC di Kampung Abdullah pada Ahad. Palanivel turut berkata fokusnya pada ketika ini adalah untuk memperkasakan MIC demi kebaikan semua anggota parti berkenaan. "Adalah penting untuk memperkasakan parti terutama di peringkat kepimpinan, jadi saya yakin saya mampu untuk bawa peningkatan kepada parti," katanya. --