Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata langkah menjamin keselamatan di Selat Melaka melibatkan penyertaan Thailand, Singapura, Indonesia dan Malaysia sendiri.
Sementara bagi keselamatan Laut Sulu, melibatkan penyertaan Indonesia, Filipina, Malaysia dan Brunei.
"Kita di Malaysia, dalam hal bersangkutan Sabah, telah menggerakkan kereta perisai 8x8 ke Tawau dan kita telah gerakkan (jet pejuang) Hawks ke Labuan," katanya kepada pemberita selepas melawat KD Jebat di sini Isnin.
Hishammuddin berkata beliau akan mengadakan pertemuan enam mata dengan rakan sejawatannya dari Brunei dan Indonesia bagi membincangkan hal keselamatan di rantau ini.
Mengenai Laut China Selatan, beliau berkata ia merupakan cabaran keselamatan yang boleh diselesaikan oleh 10 negara anggota Asean.
"Saya fikir ia bukan cabaran yang tidak boleh diselesaikan secara bersama atas platform Asean," katanya.