suria

PAS Tidak Pernah Desak DAP Terima Hudud

PETALING JAYA: PAS terus membidas sikap sekutu mereka, DAP yang sering menyatakan bantahan terhadap pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 atau lebih dikenali sebagai rang undang-undang hudud.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata parti itu tidak pernah memaksa DAP menerima pindaan undang-undang hudud tersebut sebaliknya parti itu harus menghormati proses demokrasi yang dilaksanakan oleh PAS. 

"PAS berharap sekurang-kurangnya DAP menghormati proses demokrasi yang sedang dilaksanakan. 

"Aspirasi dan kehendak rakyat yang telah memberikan amanah kepada PAS untuk mentadbir Kelantan sejak 1990 hingga genap 25 tahun pada 2015 ini perlulah dihormati," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. 

Mahfuz yang juga Ketua Whip PAS itu berkata DAP seharusnya tidak melatah dalam isu berkenaan kerana Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan itu hanya melibatkan orang Islam sahaja.

"Seperti mana PAS boleh berlapang dada terhadap prinsip dan perjuangan DAP, maka begitulah yang sepatutnya dipraktikkan oleh DAP kepada PAS," ujarnya. 

Mengulas lanjut Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, isu kerajaan perpaduan juga tidak seharusnya timbul jika ada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno yang menyokong pindaan enakmen tersebut kerana itu adalah hak ahli dewan untuk membantah atau menyokong sesuatu perkara. 

"Sepertimana  di Parlimen, bukanlah sesuatu yang aneh apabila ada ketikanya Ahli Parlimen Pakatan Rakyat turut menyokong usul dan pindaan yang dibentangkan oleh kerajaan. 

"Adakah ini bermakna Pakatan ingin mewujudkan 'kerajaan perpaduan' dengan Barisan Nasional (BN). Politik yang matang adalah dengan meletakkan kepentingan rakyat dihadapan dan bukannya sempadan politik kepartian yang tidak berkesudahan," katanya.
hudud, PAS, DAP, Mahfuz Omar

Artikel Lain