suria

Waris Mangsa Maut Akibat Gas Bocor Dijangka Berlepas Ke China Rabu

Koh Pey Chia.

JOHOR BAHRU: Visa untuk 10 waris kepada lima rakyat Malaysia yang maut akibat kebocoran gas pada sistem pemanas air di tempat penginapan di China, telah diluluskan dan mereka dijangka berlepas ke republik itu pada Rabu.

Setiausaha Persatuan Penjaja Kecil Johor Bahru, Koh Pey Chia pada Selasa berkata, visa tersebut diluluskan dalam tempoh sejam dengan bantuan Timbalan Pengerusi MCA Johor, Datuk Tee Siew Kiong.

Presiden persatuan itu, Chin Yoke Weng dilaporkan antara lima ahli perniagaan Johor meninggal dunia ketika sedang tidur akibat kebocoran gas yang berlaku di unit apartment mereka di Naning, China.

Mangsa-mangsa lain yang dikenal pasti adalah Seah Foo Heng, 48, Tay Chong Chai, 42, Tan Bian Chiang, 41, dan Ng Wei Shan, 28.

Koh turut menjelaskan bahawa rakan-rakannya itu pergi ke Naning untuk bercuti dan bukannya kunjungan perniagaan seperti yang didakwa sebelum ini.

Isteri Seah, Lim Ching Ling, 46, yang turut serta dalam lawatan itu terselamat tetapi berada dalam keadaan kritikal di sebuah hospital di China.

kebocoran gas

Artikel Lain