suria

Pesawat Rosak Cabar Kesabaran

ASSALAMUALAIKUM...Jemaah yang pernah ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat umrah kadangkala sering membangkitkan pertanyaan kepada agensi pengendali umrah  mengenai pesawat bakal dinaiki dan hotel dihuni untuk tempoh hampir dua minggu.

Saya juga tidak terkecuali bertanya perihal itu apabila diundang ke Tanah Suci. Selain menitikberatkan jarak penginapan, saya tidak pernah lupa untuk bertanya apakah pesawat yang bakal dinaiki, apatah lagi jika pemergian saya itu membabitkan warga tua ataupun kanak-kanak.

Saya kurang gemar perjalanan ke Tanah Suci menggunakan pesawat transit yang singgah di mana-mana negara walaupun hanya untuk satu malam kerana pengalaman menaiki pesawat Saudi Airlines (SV) dan Penerbangan Malaysia (MAS) menyebabkan saya begitu selesa ke Tanah Suci menerusi kedua-dua pesawat berkenaan.

Apabila kali pertama menaiki pesawat Brunei Airlines dan terpaksa transit satu malam di negara itu saya kurang setuju dan memohon ejen yang dilantik oleh agensi pengendali umrah untuk berusaha mencari pesawat MAS atau SV.

Namun, apakan daya, akhirnya saya akur dan menurut sahaja keputusan yang telah dimaklumkan oleh ejen terbabit walaupun hati kurang setuju. Justeru, dengan berat hati saya terpaksa maklumkan pula kepada ibu bapa bahawa pemergian ke Tanah Suci menerusi pesawat Brunei Airlines yang bakal mengambil masa lebih panjang kerana bermalam di Brunei dan melawat beberapa lokasi pelancongan sebelum berangkat ke Jeddah.

"Mak, ayah…Kita kena naik kapal terbang Brunei. Tidur satu malam, esok paginya jalan-jalan keliling bandar Brunei . Ana dah minta cari kapal terbang lain tapi tak dapat. Ejen cakap kena naik kapal terbang Brunei juga. Ana bimbang bapa penat," ujar saya pada kedua-dua ibu bapa pada satu malam sejurus pulang dari pejabat.

"Oklah tu. Dapat kita jalan-jalan tengok tempat orang," balas ibu saya.

“Iye...Bagus juga dapat pergi Brunei. Kita pun tak pernah sampai. Dapat tengok negara orang," sambung bapa saya pula.

Mereka nampak gembira dan berbeza dengan saya yang agak runsing dan cerewet apabila mengetahui pesawat yang bakal dinaiki. Alhamdulillah, mereka tidak keberatan setelah mendengar penjelasan saya. 

Bergambar kenangan di Muzium Brunei.

Saya bimbang memikirkan tempoh perjalanan kira-kira 10 jam dari Brunei Darussalam ke Jeddah kerana memikirkan kesihatan kedua-dua orang tua saya. Namun, mereka begitu positif dan berfikiran terbuka, malah kelihatan sungguh gembira serta teruja apabila dimaklumkan pesawat akan singgah satu malam di Brunei.

Tiba masa dinantikan, bapa, ibu, Aliff (anak) dan saya berangkat untuk mengerjakan umrah. Fikiran saya tidak lagi kacau malah saya berlapang dada dengan setiap yang sudah ditentukan oleh Allah SWT kerana hanya Dia yang lebih mengetahui setiap yang terbaik untuk hamba-Nya.

Ibu dan Aliff di kedai cenderahati di Brunei.

Saya banyak berdoa agar kami sekeluarga sihat dan diberi kekuatan untuk beribadat selain memohon agar Allah permudahkan segala urusan perjalanan pergi balik.

Tiba di Brunei Darussalam, kami menginap di Brunei Hotel. Besar, selesa dan makanan disediakan memang memenuhi selera kedua-dua orang tua saya. Syukur. Ibu sempat berbelanja di hotel berkenaan dan ketika ‘city tour’. Ada sahaja barang yang hendak dibeli untuk anak, menantu dan cucu sebagai tanda mata.

Aliff, ibu dan bapa di depan Brunei Hotel.

Selesai bersiar-siar di bandar Brunei Darussalam, kami berangkat ke lapangan terbang untuk meneruskan perjalanan ke Jeddah. Memang terasa sungguh lama tetapi tempoh yang panjang diisi dengan membaca al-Quran, berzikir dan tidur.

Tiba di Jeddah, perjalanan diteruskan lagi ke Madinah. Sungguh meletihkan dan ramai yang tidur sepanjang perjalanan ke Madinah. Namun, sejurus dikejutkan oleh mutawif kerana hampir tiba di kota bercahaya, jemaah tampak teruja. Sejurus tiba di hotel, jemaah bergegas untuk mengerjakan solat Subuh berjemaah di Masjid Nabawi yang tersergam megah bermandikan cahaya.

Ibu dan Aliff di depan Masjidil Haram.

Sepertimana lazimnya, ziarah dan solat berjemaah menjadi perhatian serta rebutan kerana menjanjikan ganjaran lumayan. Setelah empat hari tiga malam di Madinah Munawarah, kami pun berangkat ke Makkah untuk menyempurnakan umrah.

Genap 10 hari sembilan malam di kota suci Makkah, kami berangkat pulang ke tanah air. Selesai menunaikan solat Zuhur berjemaah, kami mengerjakan tawaf wada’. Hiba hati hanya Allah SWT sahaja yang tahu kerana terpaksa meninggalkan kota suci itu.

Jadual berlepas pulang ke Brunei sepatutnya pada jam 10 malam tetapi disebabkan pesawat mengalami kerosakan, kami tersadai di Lapangan Terbang King Abdul Aziz di Jeddah sepanjang malam.

Ibu bapa dan Aliff di masjid terapung di Jeddah.

Ramai yang mengeluh. Saya hanya melihat sahaja ragam jemaah lain yang sebahagian besar berusia 50 tahun ke atas. Kasihan detik hati saya tetapi apakan daya. Kita hanya merancang, Allah juga yang menentukan. Mesti ada hikmah di sebalik kerosakan itu.

Saya menghubungi suami dan adik di Kuala Lumpur untuk memaklumkan kepada mereka mengenai kelewatan dan kerosakan pesawat di Jeddah.

Sejurus memasukkan telefon bimbit di dalam tas tangan, Pak Hassan menyapa saya. Beliau datang bersama-sama isteri dan berasal dari Kuantan.

"Ana, boleh pinjam telefon sekejap tak? Pakcik nak hubungi anak. Nanti mereka mesti tunggu pakcik di airport,” ujar Pak Hassan dengan wajah agak kusut.

"Boleh. Pakcik jangan risau sangatlah. Sabar ye pakcik. Boleh, guna sahaja telefon Ana," balas saya memujuk.

"Bukan apa Ana. Kad sim pakcik dah tak ada kredit lagi. Tak dapat nak hubungi mereka. Risau juga, kasihan pada anak cucu nanti. Mesti mereka tunggu dan risau jika pakcik dan makcik tak sampai Kuala Lumpur," sambung Pak Hassan lagi.

"Ye…ye…Ana faham. Tak mengapa. Pakcik guna sahaja telefon Ana dan maklumkan pada anak. Bagi nombor telefon Ana pun tak mengapalah jika mereka nak hubungi pakcik lagi," balas saya.

"Nanti pakcik bayar duit Ana ye. Mesti mahal. Sampai Kuala Lumpur nanti pakcik bayar ye," sambung Pak Hassan lagi.

"Tak mengapa pakcik. Jangan risau. Guna saja telefon Ana," balas saya terus.

Sejurus dapat bercakap dengan anaknya, Pak Hassan nampak tenang dan memaklumkan kepada isterinya yang kelihatan sungguh mengantuk dan keletihan. Selepas itu, beberapa jemaah lain turut meminta bantuan untuk menghubungi waris mereka dan memaklumkan mengenai kelewatan akibat kerosakan pesawat.

Semua jemaah menunggu dan menunggu. Letih menanti, ada yang tertidur apabila sudah jam 1 pagi. Saya tidak dapat melelapkan mata. Berjalan ke tandas, mencuci muka dan menikmati manisan serta secawan kopi di kiosk berhampiran.

Ibu saya nyenyak tidur manakala bapa pula hanya termenung kerana sukar melelapkan mata, tersandar di ruang menunggu terminal. Tahap kesabaran segelintir jemaah semakin tercabar apabila pesawat tidak juga pulih sedangkan jam di tangan menunjukkan hampir 4 pagi!

Jemaah keletihan menunggu pesawat.

"Kenapalah lambat sangat. Tak siap-siap lagi ke? Kalau rosak, takkan lama sangat mereka ambil masa nak baiki kapal terbang?" terdengar rungutan dilemparkan oleh seorang daripada jemaah lelaki berusia awal 60-an.

Saya memberanikan diri untuk menenangkan jemaah berkenaan kerana mungkin beliau terlalu letih setelah menunggu begitu lama dan sukar melelapkan mata.

"Pak cik ada baiknya kapal terbang yang kita nak naik rosak sekarang, sebelum kita semua berlepas. Alhamdulillah kita masih di Jeddah. Bayangkanlah jika kapal terbang rosak di atas udara. Tiba-tiba sahaja rosak. Macam mana? Tentu kita kena mendarat di negara lain. Biarlah kita di Jeddah daripada di negara lain yang belum tentu macam mana keadaan kita," ujar saya.

Suasana sepi seketika. Saya sedikit cuak tetapi apakan daya, kata-kata nasihat sudah dikeluarkan. Saya pun senyap sahaja. Tiba-tiba...

"Betullah tu. Iyelah, daripada kapal terbang rosak di atas, lebih baik rosak di bawah ni. Sekurang-kurangnya kita selamat. Mesti ada hikmah. Ini semua ujian juga,” ujar jemaah berkenaan sambil tersenyum memandang saya.

Saya terasa lega. Jemaah lain turut mengangguk.  Setelah jam 5 pagi, semua jemaah mencari tandas dan tempat solat untuk mengerjakan solat Subuh. Terdahulu, kakitangan di lapangan terbang sibuk mengagihkan makanan dan minuman kepada penumpang yang tersadai semalaman.

Melihatkan makanan dan minuman, semua tersenyum puas. Faham-faham sahaja, apabila perut lapar, hati pun kadangkala boleh naik panas. Jadi melihat makanan, mereka gembira dan mengucapkan kesyukuran.

Tepat jam 7 pagi, semua penumpang dipanggil untuk memasuki pesawat Brunei Airlines yang sudah dibaiki. Semua tersenyum lega walaupun badan semakin tidak larat membawa beg kabin dan beg galas.

Ingin saya ingatkan, sediakan duit kecemasan kerana belum tentu kita berangkat pulang mengikut jadual ditetapkan kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku sebelum berlepas sepertimana yang saya alami.

Jika ada sedikit wang, sudah tentu dapatlah membasahkan tekak atau mengunyah makanan. Jika tiada wang disediakan untuk tujuan kecemasan, hati mudah mendidih apabila berdepan dengan pelbagai situasi yang tidak pernah diduga dan diundang.


Brunei, Masjid Nabawi, Makkah

Artikel Lain