PETALING JAYA: Penyampai radio BFM (88.9fm), Aisyah Tajuddin memohon maaf atas penyiaran video mempersoalkan hudud yang tersebar menerusi laman media sosial pada 19 Mac lalu. Beliau berkata, objektif video tersebut adalah untuk mempersoalkan kepimpinan PAS di Kelantan dan bukan berniat menghina Islam. "Video itu mengenai politik dan tindakan ahli-ahli politik, sudah pasti tidak berkaitan hal agama. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf atas kata-kata dan sikap saya dalam video tersebut. "Saya tiada hasrat untuk mengejek dan juga menghina. Saya sedar ramai yang terasa hati," katanya dalam kenyataan pada Isnin. Dalam video dua minit Hudud Isi Periuk Nasi yang disiarkan pada Khamis, Aisyah mengkritik Dewan Undangan Negeri Kelantan kerana meluluskan pindaan kepada Rang Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan II 1993. Tambah Aisyah, sejak video ini di muat naik, banyak ugutan bunuh dan rogol telah diterima keluarga, teman rapat dan rakannya. "Perkara ini sangat mengecewakan. Saya tidak selesa memikirkan keselamatan saya yang terancam dan tidak menyangka rakyat Malaysia akan bertindak seperti itu," katanya. "Bagaimanpun, video tersebut tersimpang sedikit dari niat sebenar kerana pada awalnya saya mahu fokus soal sosio-ekonomi rakyat di Kelantan," katanya. Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis akan menyiasat intipati video itu termasuk Aisyah dan penulis skrip yang dianggap menyindir dan sebagai "percubaan untuk mempersendakan Islam dan menyakiti hati penganutnya".