IPOH: Sejumlah 5,000 guru muda dari 2,500 sekolah di seluruh negara diberi latihan agar mahir menggunakan sistem pendidikan Internet iaitu 'Frog Virtual Learning Environment (VLE)' sebagai platform Pengajaran dan Pembelajaran (PdP). Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata Frog VLE adalah platform PdP di bawah projek 1Bestarinet Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berteraskan teknologi selaras dengan inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, iaitu menyediakan infrastruktur untuk jaringan dan landasan pembelajaran melalui 1Bestarinet. "Latihan ini akan difokuskan kepada guru-guru muda, atau lebih dikenali sebagai Guru Muda 1Malaysia (GM1M) yang berusia bawah 40 tahun. "KPM memilih mereka kerana keupayaan memiliki kemahiran menggunakan teknologi komunikasi terkini dan berkemampuan untuk mengaplikasikan teknologi di dalam PdP," katanya ketika berucap pada Pelancaran Program GM1M Dalam Frog VLE Sebagai Platform Pengajaran dan Pembelajaran di sini Selasa. Beliau berkata guru yang menggunakan Frog VLE boleh menjadi sumber rujukan dan pengisian kandungan serta berfungsi sebagai medium perkongsian bahan PdP secara digital. "Dalam hal ini, saya ingin menekankan bahawa VLE ini adalah merupakan sebahagian daripada PdP. Ia tidak boleh dilihat sebagai satu program secara terasing. "Platform VLE ini hanyalah alat dalam PdP. Ia sesuai digunakan untuk membolehkan murid-murid seronok untuk belajar, dapat memperoleh maklumat dengan cepat serta boleh menarik minat mereka untuk belajar," katanya. Khair juga berkata penggunaan sistem itu akan memudahkan tugas guru terutama dalam aspek penyediaan bahan bantu mengajar. Selain itu, beliau berkata KPM amat berharap GM1M dapat mencipta secara kreatif bahan-bahan PdP untuk dimuat naik ke dalam aplikasi Frog VLE bagi membolehkan ia dikongsi dengan rakan sejawat mereka di sekolah lain. "Harapan saya adalah agar program ini mendapat komitmen yang penuh daripada semua guru khususnya GM1M," katanya menambah Frog VLE Frog perlu diperluas kepada semua guru di Malaysia demi menjayakan aspirasi nasional pendidikan negara.