suria

Lelaki Maut Dipercayai Terkena Silinder Pemadam Api

KOTA BARU: Seorang lelaki berusia 27 tahun maut ketika menjalankan kerja-kerja penukaran silinder pemadam api di sebuah Pelantar Gas Cakerawala yang terletak kira-kira 167 kilometer dari pantai negeri ini, Selasa.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Rosli Abdul Rahman berkata dalam kejadian 3 petang itu, mangsa Mohd Saiful Sufri Ruslan yang berasal dari Ajil, Terengganu, maut selepas terkena silinder pemadam api itu. 

"Mangsa sedang menjalankan kerja-kerja penukaran pemadam api itu sebelum ia secara tiba-tiba mengeluarkan gas dan silinder itu dipercayai mengenai mangsa," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-208 peringkat negeri di sini, Selasa.

Pada majlis berkenaan, 50 individu yang terdiri daripada anggota polis serta orang awam menerima surat penghargaan khas daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Rosli berkata kematian mangsa diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Dalam perkembangan lain, Rosli berkata pihaknya memandang serius penglibatan remaja dalam jenayah dan pelbagai aktiviti dilakukan untuk menangani masalah ini. 

"Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini, sebanyak 17 tangkapan telah dibuat dan terdapat sedikit penurunan berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 21 tangkapan bagi tempoh yang sama.

"Penurunan ini adalah hasil usaha berterusan yang kita lakukan bagi mendekati remaja menerusi pelbagai aktiviti yang dianjurkan seperti Program Saya Benci Dadah dan lain-lain," katanya.
maut, silinder pemadam api

Artikel Lain