KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan dakwaan pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap ‘tweet’ berunsur hasutan yang dibuat pihak pembangkang berbanding pihak kerajaan. Beliau berkata, dakwaan tersebut sengaja dibangkitkan pihak tertentu untuk mengelirukan orang ramai dan memburukkan polis sebagai pasukan keselamatan di negara ini. Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang membuat dakwaan itu supaya mengemukakan ‘tweet’ yang dikatakan itu sebagai bukti. “Masalahnya… pihak yang ‘itu’ (pembangkang) sahaja yang buat kecoh. Jadi, memanglah nampak banyak yang saya ambil tindakan. “Cuba beri saya ‘tweet’ yang pihak Barisan Nasional keluarkan. Ada? Kalau ada, kita akan ambil tindakan yang sama (sebagaimana tindakan yang diambil terhadap pihak pembangkang),” tegasnya pada sidang media selepas majlis sambutan Hari Polis Ke-208 bertemakan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada' di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, Rabu. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan pihaknya hanya mengambil tindakan terhadap kenyataan berbaur hasutan atau menyentuh sensitiviti di Twitter yang dibuat oleh pihak pembangkang. Mengenai kenyataannya di Twitter yang sering memberitahu 'akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan', Khalid menjelaskan bahawa semua laporan dan aduan berhubung sesuatu isu atau insiden dilaporkan oleh masyarakat sendiri. “Masyarakat umum hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya. Mereka kata... Tan Sri, orang ini buat macam ini... ini rasanya tidak patut, kami risau dan sebagainya. “Saya tidak perlu buka Twitter 24 jam. Ada apa-apa ‘tweet’ yang merungsingkan orang ramai, mereka akan beritahu saya. Dan saya akan tengok, jika perlu diambil tindakan, saya akan ambil tindakan,” katanya.