suria

Wawancara Khas KPN Sempena Peringatan Hari Polis Ke-208

Tan Sri Khalid Abu Bakar
BERIKUT adalah sesi wawancara khas bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sempena sambutan peringatan Hari POlis Ke-208 yang disambut pada 25 Mac setiap tahun.

S - Difahamkan tema sambutan peringatan Hari Polis Ke-208 pada tahun ini adalah ‘Polis Dan Masyarakat Berpisah Tiada'. Adakah tema tersebut dipilih disebabkan PDRM lebih fokus kepada hubungannya dengan masyarakat?

J - Tema ini dipilih selari dengan hasrat kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan awam. Polis juga mahu merakyatkan perkhidmatan polis oleh itu kita memastikan bahawa pemuafakan antara polis dan masyarakat terus berjalan. Ia juga memperlihatkan bahawa pentingnya hubungan, saling memerlukan antara polis dan masyarakat kerana tanggungjawab memelihara keamanan dan ketenteraman di negara kita bukan sahaja terletak di bahu PDRM tetapi juga semua lapisan masyarakat. Kita harapkan dengan tema baharu ini PDRM akan dapat  mempertingkatkan pencapaian perkhidmatannya kepada rakyat.

S - Tahun ini genap 208 tahun perkhidmatan polis di negara ini. Setiap zaman ada cabarannya. Apakah cabaran terbesar masa kini yang dihadapi PDRM?

J - KIta boleh bahagikan cabaran kepada dua skop yang luas iaitu dalaman dan luaran. Dalamannya, yang pertama modal insan yang kita tahu elemen paling penting yang menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Dengan penambahan nisbah penduduk di Malaysia, memerlukan penglibatan anggota polis mencukupi agar keseimbangan dapat dipertingkat selaras dengan standard piawaian Interpol - 251 polis : 250 penduduk.Mengikut statistik sehingga Februari tahun ini, kekuatan personel PDRM adalah 126,800 orang. Ini termasuk pegawai kanan, pegawai pangkat rendah dan pegawai awam. Dengan penduduk berjumlah 30 juta sekarang ini, ada sedikit kurang kalau ikut nisbah itu, tapi kita akan melaksankaan tanggungjawab kita mengikut nisbah yang ada sekarang ini. Kerajaan melalui manifestonya akan memberi 4,000 orang  tambahan setiap tahun. Kita perlu merekrut lebih kurang enam hingga tujuh ribu orang setiap tahun bagi menggantikan yang bersara dan juga untuk penuhi 4,000 jawatan yang diluluskan setiap tahun.Yang kedua yang menjadi cabaran kepada kita adalah permasalahan logistik. Ini satu kekangan utama untuk kita melaksanakan tanggungjawab kita, tambahan pula dengan perbelanjaan berhemah yang diamalkan semua jabatan kerajaan sekarang ini jadi kita terpaksa tangguh beberapa program pembangunan yang telah dirancang. Juga dalam menggantikan peralatan logistik kita seperti kenderaan dan sebagainya. Tapi apa pun saya rasa kerajaan memahami kedudukan masalah atau cabaran logistik kita ini, saya percaya dalam masa terdekat ia akan dapat diatasi secara berperingkat.
Bila saya cakap logistik bukan sahaja kenderaan tapi termasuk kediaman pekerja kita. Contohnya ada cerita sudah jadi viral di mana seorang balu di Petaling Jaya telah diminta keluar dari kuarters polis. Dalam kes ini keluarga atau balu anggota polis yang telah meninggal telah menetap di kuarters itu melebihi 10 tahun selepas anggota polis itu  meninggal dunia. Kita telah cuba bantu dengan mendapatkan rumah kerajaan tapi dia enggan berpindah jadi kita arahkan dia keluar dari rumah itu kerana ada anggota kita yang terpaksa menyewa di rumah setinggan kerana masalah kekurangan kediaman. Kita perlu beri keutamaan kepada anggota kita yang menyewa di luar untuk ditempatkan di kuarters kita. Kita bersimpati juga dengan balu itu tapi saya rasa saya telah beri dia banyak peluang dan kelonggaran dan kita telah menawarkan dia berpindah di Kayu Ara tapi dia enggan pindah. Kita terpaksa bagi rumah itu kepada anggota kita yang menyewa di rumah setinggan. Kalau 
nak sewa rumah bukan murah.

Cabaran luaran pula berkenaan keselamatan sempadan kita khususnya Malaysia-Thailand, Sarawak-Kalimantan, Sabah-Kalimantan. Keadaan geografi sempadan terdiri daripada sungai, daratan dan bukit bukau dan ini merupakan satu cabaran kepada pasukan keselamatan negara untuk kita memantau keluar-masuk rakyat di kedua-dua negara di mana ada di antaranya mengambil kesempatan menyeludup dadah, senjata, manusia dan sebagainya. Jadi kita terpaksa meletak banyak anggota  kita di sempadan negara untuk memastikan ia tidak dibolosi. Kita pun tahu ada juga sempadan kita merupakan lautan, contohnya sempadan Sabah dengan selatan Filipina. Pantainya timur Sabah itu panjangnya 1700km, merupakan sempadan laut, ini satu kawasan yang bukan sedikit untuk kita kawal dan ini merupakan 
antara cabaran untuk kita dalam memastikan keselamatan negara.
Seterusnya adalah 'jenayah' yang menjadi ancaman tradisi kita. Di bawah program transformasi kerajaan, PDRM bertanggungjawab mengurangkan kadar jenayah indeks. Pada hari ini dalam nkra mengurangkan jenayah kita mensasarkan pengurangan jenayah indeks pada kadar lima peratus setiap tahun sehingaga 2020, bermula 2009. Pelan tindakan susulan bagi mengurus tadbir pencegahan jenayah termasuklah dalam hal-hal meningkatkan kesedaran dan kefahaman rakyat yang akan menjadi pemangkin kepada sebuah negara yang aman selamat dan sejahtera. Antara isu-isu utama berkaitan jenayah adalah jenayah bersindiket, jenayah merentasi sempadan, pemerdagangan manusia, jenayah warga asing dan jenayah sosial.
Seterusnya ancaman siber yang menunjukkan peningkatan mendadak dalam satu bulan. Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2014, jumlah keseluruhannya adalah 8,140 kes. Oleh itu ancaman siber berupaya menjejaskan keyakinan masyarakat dan menganggu kestabilan politik, sosio ekonomi semasa jika tak dibendung dan jika tak ditangani dengan serius. Isu-isu berkait dengan jenayah siber antaranya masalah dalam mengenal pasti ‘origin of offender' kerana dalam siber ia mungkin dilakukan di luar negara, kelemahan undang-undang yang ada dan pendakwaan, termasuklah peningkatan kes cetak rompak dan pencabulan harta intelek. Jenis kesalahan ini dari segi statistiknya, penipuan siber 3,376, spam 1,710 kes, cubaan ceroboh laman web dan sebagainya 1,744 kes, fitnah melalui siber 645 dan sebagainya.
Setersunya ancaman dalam konteks keselamatan negara dan keselamatan rakyat. Ancaman ini telah mengubah landskap tindakan punitif dan pencegahan dalam PDRM. Fahaman politik dalam agama dan ekstremisme serta radikalisme adalah penyumbang kepada kewujudan ancaman keganasan dari dalam dan luar negara serta mengganggu gugat perpaduan nasional. Antara isu-isu utama yang perlu dihadapi PDRM dalam hal ini antaranya hasutan melalui media sosial, penyebaran ajaran sesat, ekstremis kaum, kegiatan anti kerajaan, kumpulan pelampau agama, pengganas dan liberalisme.

S - Isu militan kini menghantui seluruh dunia. Dalam hal ini apakah tindakan polis dalam mngekang kumpulan militan terutama IS daripada mempengaruhi rakyat negara ini? Apakah tindakan PDRM dalam menangani ancaman keselamatan di negara ini yang mungkin ditimbulkan kumpulan militan?

J - Isu ini yang menjadi salah satu cabaran kepada PDRM akan terus dipantau dan dibanteras dari terus mempengaruhi masyarakat. Untuk itu kita telah jalankan pelbagai tindakan untuk mengekang pengaruh kumpulan ini. Antaranya dengan menyenarai dan mengenal pasti individu-individu yang cuba merekrut dan mempengaruhi rakyat Malaysia untuk menyertai kumpulan militan khususnya IS. Kita juga lancarkan operasi tangkapan individu dan kumpulan yang telah dikenal pasti, serta menjalankan kerjasama dengan agensi perisikan asing, dalam perkongsian pintar untuk mengenal pasti jaringan mereka di peringkat antarabangsa. Selain itu kita juga menangkap dan mendakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) , Akta Pencegahan Keganasan (Pota), Akta Imigresen dan Akta Pasport untuk warga asing. Semua akta ini kita gunakannya. Sebab itu kita perlukan satu akta anti keganasan yang sedang kita rumuskan sekarang dan saya percaya dapat dibentang dalam sesi Parlimen kali ini.
Untuk menangani ancaman kumpulan ini kita telah ambil beberapa langkah antaranya memberi penerangan kepada masyarakat tentang bahaya IS, mengadakan kerjasama dengan media untuk sebar maklumat terkini, mengadakan kerjasama dengan masyarakat untuk mendapatkan maklumat berkaitan sebarang kumpulan militan.
Selain kita tahan mereka ini, kita akan cuba pulihkan mereka dengan apa juga peruntukan undang-undang yang ada. Kita akan buat program supaya mereka faham apa sebenarnya IS ini, agar bila mereka bebas mereka tidak lagi menjadi ancaman kepada masyarakat dan negara.

S- Dalam era teknologi yang berkembang ini, maklumat bergerak begitu pantas dengan adanya media sosial. Banyak maklumat ini tidak benar tetapi masyarakat sering mempercayai maklumat seperti ini. Maklumat itu kadang-kadang boleh menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat. Bagaimana PDRM bertindak terhadap maklumat di media sosial dan tindakan yang diambil terhadap maklumat salah serta yang berunsur hasutan?

J - Pihak polis memang memandang serius dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ancaman menggunakan medium media sosial. Perkara ini tidak boleh dipandang ringan terutamanya ia melibatkan ketenteraman awam dan keselamatan negara. Isu-isu perkauman dan keagamaan yang dimainkan secara bebas tanpa kawalan mempunyai impak serius terhadap masyarakat majmuk di Malaysia. Malaysia ada sejarah ketegangan kaum sebelum ini dan selepas kemerdekaan. Oleh itu penting isu-isu penyebaran melibatkan perkauman dan keagaamaan mesti kita kekang  sebelum merebak tanpa menjejaskan hak-hak kebebasan bersuara rakyat yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Saya berpendapat mencegah lebih baik dari mengubatinya. Tindakan-tindakan kita yang begitu drastik dalam tempoh satu-dua minggu ini jelas menggambarkan betapa seriusnya  kita mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menghasut menggunakan media-media sosial.

S - Dalam menghadapi cabaran masa kini, apakah perancangan PDRM dalam menambah aset yang boleh digunakan untuk menghadapi jenayah yang semakin 'canggih'?

J - PDRM memang sedar bahawa jenayah kini semakin kompleks dan Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (dulu Jabatan Logistik) dan jabatan-jabatan lain dalam PDRM sentiasa merancang untuk mengukuhkan keupayaan dan kecekapan kita bertindak menangani cabaran jenayah yang canggih selari dengan teras PDRM.
Kita komited dalam memperolehi dan menambah sumber-sumber strategik dengan mengenal pasti dan mengasimilasikan peralihan global dalam budaya, teknologi maklumat dan perkara-perkara yang menyentuh hak asasi manusia. Semua ini, PDRM sebagai penguatkuasa undang-undang, kita akan menggunakan setiap cara yang ada untuk memerangi jenayah dengan berusaha memperlengkapkan pegawai dan anggotanya dengan perolehan aset terkini, antaranya telekomunikasi dan sistem maklumat PDRM. Memperoleh aset teknologi terkini seperti 'lawful interception system', sistem CIU (crime investigation unit) dan 'smart investigative', analysis tools untuk mengesan penjenayah serta hubungan dengan rakan-rakan jenayah dan entiti lain yang terlibat. Perolehan peralatan seperti 'crime scene reconstruction tools', dalam kita meningkatkan lagi penggunaan peralatan forensik dalam siasatan kita, mempertingkatkan lagi alat-alat pemadanan cap jari dan berbagai peralatan terkini yang digunakan oleh oleh polis antarabangsa dan kita tak akan ketinggalan untuk memperolehinya.

S - Apakah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard  (Jips) Bukit Aman berjaya sepanjang setahun penubuhannya? Mampukah Jips kekang kes salah laku dan salah guna kuasa di kalangan anggota?

J - Penubuhan Jips PDRM ini selari dengan dasar kerajaan mengenai Pekeliling perkhidmatan Bil 6 2013 yang memerlukan penubuhan unit integriti di semua agensi awam. Penubuhan unit integriti adalah satu usaha kawalan dalaman oleh PDRM untuk menguruskan integriti dalam organisasi kita. Antara tanggungjawab dan fungsi teras mengikut ketetapan itu adalah memastikan tadbir urus terbaik dilaksanakan, pengukuhan integriti, memastikan pembudayaan penginstitusian dan pengesanan integriti dalam organisasi, mengasan dan mengesahkan aduan salah laku jenayah serta perlanggaran tata kelakuan, melaporkan salah laku jenayah kepada agensi betjwb, pengurusan aduan, pematuhan undang dan peraturan, melaksanakan fungsi urusetia lembaga tatatertib. Ada enam teras yang kita perlu lihat. Sama ada ia berjaya mengekang, pada pendapat saya memang Jips berjaya mengekang salah laku di kalangan pegawai dan anggota PDRM sendiri tapi dalam tempoh setahun susah kita mahu mengukurnya jadi kita perlukan lebih masa dalam kita memberikan pendidikan kepada kakitangan kita seterusnya menanamkan budaya kerja, mematuhi peratusran dan sebagainya.

Artikel Lain