ASSALAMUALAIKUM. Lazimnya, si kecil yang dibawa ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadat umrah sering menjadi perhatian jemaah lain. Ramai yang akan menyapa dan bermesra dengan si kecil apatah lagi jika peramah dan bijak menyesuaikan diri dengan sesiapa sahaja yang menghampiri. Adib, 9, dari Kuala Lumpur menjadi perhatian ramai jemaah kerana dia sering tersenyum, kuat makan, mudah mesra dan bijak menjawab setiap pertanyaan yang dikemukakan kepadanya. Adib kali pertama berkunjung ke Tanah Suci bersama seorang kakak dan ibu bapanya pada 2011. Bibirnya sering menguntum senyuman manis setiap kali bersua. Di dalam bas banyak pertanyaan dikemukakan oleh Adib pada ibunya, Hasnah, yang tidak pernah jemu melayan ragam dan karenah anak keduanya itu. Adib rajin mengikut bersolat jemaah di Masjid Nabawi. Tidak pernah pula terdengar keluhan daripada bibir mungilnya perkataan penat, letih atau malas. Kanak-kanak bertubuh gempal itu mudah didekati dan tidak marah jika pipinya dicuit oleh jemaah lain. Ketika berziarah di sekitar Madinah, Adib kelihatan riang dan tidak henti mengunyah di dalam bas. Dia leka memerhatikan dan mendengar penerangan daripada mutawif dan jika tidak begitu memahami, dia lantas bertanya mamanya. Hasnah asyik melayan Adib. Tidak dinafikan, Adib sangat manja dengan mamanya berbanding papanya yang sering duduk bersama anak perempuan pasangan itu di dalam bas apabila berziarah. Tiba hari ke Makkah, Adib kelihatan sungguh comel berpakaian ihram menunggu bas bersama-sama keluarga dan semua jemaah lain untuk melafazkan niat ihram di tempat miqat di Bir ‘Ali. Semua jemaah nampak tenang menunggu bas yang agak lewat tiba di depan hotel penginapan. Walaupun bas tiba lewat hampir satu jam, jemaah tetap menunggu penuh sabar di lobi. Saya memohon maaf atas kelewatan itu dan sebahagian besar daripada mereka memahami kerana sudah tidak asing lagi dengan keadaan di Tanah Suci. “Assalamualaikum. Perhatian kepada semua jemaah. Saya mohon maaf atas kelewatan bas ke Bir ‘Ali. InsyaAllah bas akan tiba sebelum Asar. Saya harap semua jemaah bersabar,” ujar saya pada jemaah. Ada yang tertidur di sofa dan tidak kurang juga yang bergambar di sekitar kaki lima hotel. Ada yang membaca al-Quran dan ada juga berzikir. Tidak kurang juga bersembang sesama mereka. Alhamdulillah, mereka tidak pula marah-marah dan masam muka. Bas tiba pada jam 3 petang, semua jemaah beratur menaikinya, manakala bagasi dimuatkan terus ke dalam perut bas dengan pantas oleh kakitangan hotel. Kira-kira 15 minit kemudian, kami berangkat ke Bir‘Ali dan mutawif mengingatkan jemaah agar menunaikan solat sunat ihram serta menaiki bas semula untuk melafazkan niat. Semua jemaah akur. Tiba di Makkah, kami menunaikan umrah. Begitu juga Adib. Dia kelihatan penat tetapi tidak mengeluh. Esoknya, acara bebas dan semua jemaah berehat setelah menyempurnakan rukun umrah mengikut tertib. Jemaah menghabiskan masa di dalam bilik dan mengerjakan solat fardu secara berjemaah di Masjidil Haram. Dua hari selepas itu, jemaah tampak segar semula dan program ziarah di sekitar Makkah bermula. Sebagaimana lazim, Jabal Rahmah, Arafah, Muzdalifah, Mina dan Jaaranah antara lokasi dikunjungi. Adib seronok menikmati aiskrim di Jabal Rahmah. Begitu juga sebahagian besar jemaah lain. Sebelum waktu Zuhur, kami tiba di hotel penginapan. Jemaah yang sudah memasang niat ihram di Jaaranah meneruskan rukun umrah iaitu tawaf, saie dan tahalul, manakala jemaah lain pula mengerjakan solat berjemaah di Masjidil Haram. Selesai menikmati makan tengah hari, jemaah berehat di bilik masing-masing sementara menunggu solat Asar pada jam 3.30 petang. Setelah pulang dari solat Asar saya bertemu beberapa jemaah, termasuk Hasnah dan anak perempuannya dalam perjalanan pulang ke hotel. “Mana Adib?” soal saya. “Adib tidur di dalam bilik. Dia tak ikut kami solat Asar. Macam tak larat saja Adib lepas balik dari ziarah tadi,” balas Hasnah. Saya menuju ke hotel, manakala Hasnah dan anak perempuannya singgah di deretan bazar. Saya pulang ke bilik dan melipat pakaian yang sudah kering dan dimasukkan ke dalam bagasi. Berbual seketika dengan ibu sebelum masuk ke tandas. Selepas itu saya pun mengambil wuduk dan bersiap untuk menunaikan solat Maghrib di Masjidil Haram. Tiba-tiba pintu kamar diketuk oleh seseorang. Saya menyarung telekung lantas membuka pintu. “Assalamualaikum hajah. Anak saya…anak saya…” ujar Hasnah dengan deraian air mata dan tidak mampu meneruskan kata-kata. “Waalaikumsalam. Kenapa? Adib ke?” tanya saya ringkas. “Ye Adib. Adib tak bangun-bangun hajah. Puas saya ketuk pintu tapi Adib tidak buka pintu,” katanya terus menangis. “Mana suami awak?" soal saya lagi. “Suami tidak balik ke hotel selapas solat Asar tadi. Saya kejutkan Adib dari tadi. Saya singgah di bazar sekejap sahaja dan terus pulang ke hotel semula. Lama juga saya ketuk dan teriak nama dia tapi Adib tak buka pintu hajah,” ujar Hasnah. Dalam hati saya, lama sungguh Hasnah berusaha mengejutkan Adib tetapi anaknya belum juga terjaga. Saya bergegas ke bilik Hasnah yang tidak jauh dari bilik saya. Tiba di depan pintu bilik Hasnah, saya mengetuknya dengan kuat dan kami sama-sama memanggil namanya tetapi tetap tidak kedengaran. Hasnah terus menangis dan mengatakan Adib mudah terjaga apabila dikejutkan. “Saya turun ke lobi dulu dan minta kunci pendua,” ujar saya kepada Hasnah. Dalam hati saya tergerak untuk menghubungi Ustaz Bakhtiar dan memaklumkan perkara sebenar. Secara kebetulan beliau ada di lobi dan setelah mendapatkan kunci pendua daripada kakitangan hotel, kami terus ke aras 11. Pekerja hotel turut bersama-sama kami untuk membantu. Tiba di depan pintu bilik, Ustaz Bakhtiar menasihatkan Hasnah supaya bertenang dan insyaAllah Adib hanya tidur nyenyak kerana terlalu penat. “Adib tak pernah macam ni ustaz. Kalau saya kejutkan dia, mudah sahaja dia bangun. Saya risau ustaz,” balas Hasnah dengan suara penuh sebak. Sejurus pintu bilik dibuka, Ustaz Bakhtiar menasihatkan saya dan Hasnah agar tidak masuk ke dalam bilik. Hanya beliau dan pekerja hotel saja yang masuk terlebih dahulu untuk melihat keadaan Adib. Hasnah menanti penuh cemas. Ustaz Bakhtiar keluar semula bersama-sama pekerja hotel dan tersenyum. “Adib tidur. Penat sangat tu,” ujar Ustaz Bakhtiar dan menyuruh Hasnah serta saya masuk ke bilik berkenaan. Sejurus melihat Adib yang mengesat-ngesat matanya, Hasnah terus memeluk erat dan mencium anaknya itu. “Puas mama panggil Adib di luar tadi. Adib tak dengar ke?” soal Hasnah. Adib hanya menggelengkan kepala. Hasnah terus memeluk Adib sambil diperhatikan saya dan kakak Adib. Saya memohon diri untuk pulang semula ke dalam kamar. Hasrat untuk solat Maghrib berjemaah terpaksa dibatalkan kerana azan sudah berkemundang ketika pintu dibuka dengan kunci pendua. Saya turun semula ke lobi untuk mengambil kunci bilik saya yang ditinggalkan oleh ibu di kaunter lobi. Pulang semula ke dalam bilik dan menunaikan solat Maghrib dan selepas itu menjenguk semula Adib. “Adib penat ye? soal saya. “Ye. Adib tak dengar pun mama ketuk pintu tadi,” balas Adib kelihatan agak monyok. “Tak mengapapalah. Pintu dah dibuka. Adib rehatlah tapi mesti makan sekejap lagi,” pinta saya. “Terima kasih hajah. Tak teringat saya nak minta kunci pendua daripada pihak hotel,” ujar Hasnah. “Hasnah tadi mesti panik. Saya faham. Iyelah anak tak bangun-bangun buka pintu walaupun dah kejut banyak kali. Lebih risau lagi sebab Adib tak pernah macam tu,” balas saya. “Betul hajah. Saya memang tak tau nak buat apa tadi. Macam-macam saya fikirkan sebab dah panggil namanya dan ketuk pintu kuat-kuat, dia tidak sedar juga,” sambung Hasnah. “Bawalah Adib makan sebentar lagi. Saya minta diri untuk pergi solat Isyak di masjid,” ujar saya. “Baiklah. Terima kasih hajah,” kata Hasnah sambil menghulurkan tangan bersalam dengan saya dan memeluk saya. Sepanjang perjalanan kira-kira 250 meter dari hotel ke Masjidil Haram, fikiran saya masih teringatkan Adib. Lucu pun ada sebab lena sungguh tidurnya sehingga tidak terdengar langsung bunyi ketukan pintu yang kuat dan jeritan suara mamanya. Esoknya, saya bertemu Adib di dewan makan bersama-sama keluarga. Adib ceria dan kelihatan segar. Alhamdulillah.