SINGAPURA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas perdana menteri Singapura mendiang Lee Kuan Yew. Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Datuk Husni Zai Yaacob berkata, perdana menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi pada pukul 11 pagi. Najib juga diiringi beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri G. Palanivel dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong. Kuan Yew, bapa pengasas Singapura moden, meninggal dunia pada Isnin (23 Mac) pada usia 91 tahun.