BOAO (Hainan): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden China Xi Jinping setibanya di sini pada Jumaat untuk menghadiri Forum Boao bagi Asia 2015 (BFA). Ini merupakan lawatan singkat Perdana Menteri, namun sangat penting dalam konteks hubungan dua hala Malaysia-China, kata Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya. Najib yang juga Menteri Kewangan, dijadual tiba di Boao, bandar di pantai barat Qionghai di Hainan, China, pada petang Jumaat. Beliau akan pulang ke Kuala Lumpur selepas menyampaikan ucapan pada pembukaan sidang pleno pada Sabtu. Zainuddin berkata pertemuan dua hala itu adalah yang keempat antara kedua-dua pemimpin. Kali terakhir kedua-dua pemimpin bertemu pada mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik yang berlangsung di Beijing, China pada November tahun lepas. Presiden Xi (Jinping) juga menjadi hos jamuan malam untuk Perdana Menteri, bukti hubungan kukuh antara Beijing dan Putrajaya, katanya kepada media Malaysia di sini Khamis. Pada 2013, hubungan dua hala dengan China dipertingkat daripada rakan strategik kepada rakan strategik komprehensif. Antara lain kedua-dua negara menetapkan sasaran dua hala bernilai US$160 bilion menjelang 2017. Tahun lepas, jumlah dagangan antara Malaysia dan China bernilai US$102 bilion. Zainuddin berkata Najib juga dijadual mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Kazakhstan, Karim Massimov dan Belanda, Mark Rutte. Ditanya mengenai ucapan Najib, duta besar itu berkata ucapan Perdana Menteri akan menyentuh tema BFA 'Asias Future: Towards a Community of Common Destiny'. Beliau juga dijangka menyentuh mengenai ASEAN dan visinya berikutan Malaysia kini mempengerusikan kumpulan serantau itu, kata Zainuddin. Delegasi Najib terdiri daripada Duta Khas Perdana Menteri ke China, Tan Sri Ong Ka Ting, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar bagi Hal Ehwal Dua Hala Datuk Ramlan Ibrahim dan Zainuddin. Ini merupakan lawatan rasmi kelima Perdana Menteri ke China, namun kali pertama ke BFA, entiti bermodelkan Forum Ekonomi Dunia, yang bersidang setiap tahun di Davos, Switzerland. BFA yang mempunyai alamat tetap di Boao merupakan forum paling berprestij dan utama untuk pemimpin dalam kerajaan, perniagaan dan akademik di Asia dan benua lain bagi berkongsi visi mengenai isu paling mendesak di rantau yang dinamik dan mempunyai penduduk paling ramai di dunia. BFA diwujudkan selepas krisis kewangan Asia 1998, setelah ekonomi di rantau ini merasakan perlunya platform serantau untuk bersama-sama menangani cabaran bersama untuk mengelak berulangnya krisis kewangan atau krisis lain tanpa persediaan dan tidak bersatu. Konsep bersama dan sama-sama menang merupakan prinsip yang diamalkan Forum ini sejak penubuhannya. Setiap tahun BFA menghimpunkan lebih 2,000 pemimpin kerajaan, ketua pegawai eksekutif dan pakar ekonomi bagi meneroka isu paling mendesak di Asia dan pasaran pesat membangun yang lain.